Salah seorang tokoh yang dikaitkan sebagai kumpulan yang tidak disenangi Nik Abduh Nik Abdul Aziz hari ini mendakwa kedatangan anggota parlimen Bachok itu ke sebuah majlis di Puchong beberapa tahun lalu sebagai "tidak diundang".
Menurut Dr Muhammad Atiullah Othman majlis berkenaan sepatutnya diadakan di antara aktivis PAS bagi menghadapi "Jebon" dalam parti itu serta dua pemimpin kanan mereka, iaitu Dr Khairuddin Aman Razali dan Nasrudin Hasan.
Khairuddin ialah anggota parlimen Kuala Nerus manakala Nasrudin ketika itu masih berstatus anggota parlimen Temerloh.
Jebon pula merujuk kepada satu kumpulan yang membawa aliran sederhana dalam PAS suatu ketika dulu namun disingkirkan dari parti terbabit pada 2015.
Dalam hantaran di media sosialnya Muhammad Atiullah berkata pertemuan malam itu melibatkan dua kumpulan, masing-masing di bawah pengaruh Khairuddin dan Zaharudin Muhammad.
Zaharudin ialah menantu kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Kata Muhammad Atiullah mereka tidak dimaklumkan mengenai kedatangan Nik Abduh kerana anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu tidak ada kaitan dengan kumpulan tersebut.
Perbuatan individu dan dedak
"Tetapi kebetulan Takiri (Khairuddin) dan Tantawi (Nasrudin) datang daripada parlimen, jadi UNA (Ustaz Nik Abduh) join sekali.
"Walaupun beliau tidak diundang, tetapi pengakuan dan emosinya pada malam itu (sebagaimana yang terdapat dalam audio tersebut) sangat mengejutkan kami dan di luar pengetahuan kami," katanya.
Malah menurut Muhammad Atiullah sebenarnya kedatangan Nik Abduh "tidak dialu-alukan".
Berikut ialah catatan pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris itu di laman Facebooknya:
PERTEMUAN PUCHONG ADALAH MAJLIS PERPISAHAN TEAM LAWAN JEBON
Ramai bertanya kepada saya, latar belakang audio YB Nik Mohamad Abduh (UNA) menerima duit Umno. Tentu sahaja orang yang hadir sahaja yang tahu latar belakangnya dan tujuan pertemuan tersebut.
Banyak dakwaan songsang berkenaan audio tersebut. Ada yang mengaitkan dengan kes Sarawak Report. Padahal kes Sarawak Report hanya masuk mahkamah pada 21 April 2017.
Ada pula dakwaan mengatakan tujuan pertemuan itu adalah untuk menjatuhkan UNA. Ini pun tak betul kerana tujuan pertemuan kami ialah majlis perpisahan untuk bersemuka dengan pemimpin tertinggi PAS Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi (Tantawi) dan YB Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri (Takiri).
Lebih jauh tersasar ada yang kata, ini mesyuarat sulit UNA dan Ustaz Zaharudin Muhammad (UZM) sehingga semua yakin dan menuduh UZM yang rakam dan sebar. Justeru, hanya mereka berdua sahaja dalam pertemuan itu.
Yang sebenarnya, pertemuan malam itu adalah majlis perpisahan team "Lawan Jebon" daripada seluruh Malaysia. Pertemuan malam tu ada 2 dua grup. Satu grup di bawah pengaruh Takiri, dan satu grup lagi di bawah pengaruh UZM.
Waktu itu kami tak tahu, antara sebab team lawan Jebon dibubarkan adalah kerana pendedahan UZM berkenaan beberapa individu yang terlibat mengambil duit Umno. Hanya malam itu, baru kami tahu sebab pembubaran.
Apa yang kami tahu sebelum itu, team ini dibubarkan dengan tuduhan kami adalah “jemaah dalam jemaah”.
Baca Nik Abduh: Hadi restu saya nafi rakaman audio
Malam itu baru kami tahu isu sebenar, dan barulah kami faham, kami dibubarkan sebab team uzm telah mendedahkan perbuatan 2-3 individu ini berkaitan dengan dedak.
Kami tidak dimaklumkan kedatangan UNA kerana beliau tiada kaitan dengan kami tetapi kebetulan Takiri dan Tantawi datang daripada Parlimen, jadi UNA join sekali.
Walaupun beliau tidak diundang, tetapi pengakuan dan emosinya pada malam itu (sebagaimana yang terdapat dalam audio tersebut) sangat mengejutkan kami dan di luar pengetahuan kami.
Kandungan ucapan UNA bukan sesuatu yang kami harapkan kerana perjumpaan tersebut merupakan Majlis Perpisahan dan Pembubaran Team Lawan Jebon.
Biarlah orang nak kata apa tetapi kedatangannya sebenarnya tidak dialu-alukan. Saya bertanya kepada UNA: “Dari mana ni?”. Dia bagi jawapan bahawa dia dari parlimen dan tumpang kereta Takiri untuk datang ke sini.
Kedatangan UNA, tiada apa-apa manfaat untuk kami kerana soalan-soalan yang kami ingin tujukan hanya kepada Tantawi dan Takiri. Bahkan kedatangan UNA merosakkan majlis perpisahan kami apabila UNA melenting dengan memperakui menerima duit Umno.
Apabila UZM membacakan dalil, UNA melenting lagi dan meminta berhenti. UNA turut menyebut kepada UZM, "kalau anta (UZM) tak setuju terima duit Umno, teruskan. Ana (UNA) dengan pendirian setuju terima duit Umno".
Kemudian, UNA angkat punggung dan keluar dengan amukan. Majlis berakhir dengan kebingungan.
Sekalipun UNA datang tanpa diundang, tetapi kenyataannya itu jelas menunjukkan Tantawi dan Takiri menipu kami bahawa konon-kononnya mereka mempertahankan team ini, tetapi akhirnya UNA sendiri mendedahkan mereka berdua ini termasuk dalang pembubaran.
Malah, tujuan kami bertanyakan kepimpinan tertinggi mengenai sebab kami dibubarkan juga tidak kesampaian.
Kesimpulan majlis perpisahan pada malam itu, 3 individu ini suka berbohong dan mereka ambil duit UMNO atas nama parti tetapi tanpa pengetahuan Parti.
Disebabkan keborosan mereka mendedak, Sarawak Report terus mendapat nafas menangguhkan dengan bukti-bukti perbuatan mereka termasuk audio tersebut. Kesannya ahli terpaksa tampung kos dan akhirnya selesai luar mahkamah akibat tidak mampu menanggung kos untuk jangka panjang.
Dr. Muhammad Atiullah Othman
15 Februari 2019
Malaysiakini sedang cuba menghubungi Nik Abduh untuk mendapatkan pengesahan beliau berhubung dakwaan Muhammad Atiullah itu.