Bersatu tetap akan membuka cawangan parti itu di Sabah, kata pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri bagaimanapun menegaskan, kewujudan Bersatu di negeri itu bukan untuk menentang pentadbiran ketua menteri, Shafie Apdal yang mengetuai Warisan.
Sebaliknya, kata Mahathir dengan adanya Bersatu di negeri di bawah bayu itu, ia akan mengukuhkan lagi kerajaan negeri.
“Kita (Bersatu) putuskan untuk pergi dan tubuhkan Bersatu di Sabah dan kita ke Sabah untuk kuatkan kerajaan Shafie.
“Kita tidak menentang Shafie, kita daripada PH dan PH terima Warisan dalam kerajaan.
"Kita ke sana untuk membantu bukan untuk tukar kerajaan," katanya dalam sidang media di Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur hari ini.
Pada 10 Febuari lalu, Shafie bertemu Mahathir bagi membincangkan rancangan Bersatu untuk membuka cawangan di Sabah.
Shafie dilaporkan berkata beliau mengulang janji yang dibuat sebelum PRU14 supaya Bersatu tidak melebarkan sayapnya ke negeri itu.
Menurut Mahathir keputusan itu dibuat setelah melihat keadaan politik di Sabah dan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).
"Kita lihat ada pihak yang sama sekali tidak ingin sertai Warisan, tetapi mereka sokong PH dan sokong Bersatu," katanya.
Terhad kepada ahli Umno saja
Mengulas mengenai keanggotaan Bersatu di Sabah, Mahathir menegaskan parti itu sama sekali tidak akan menerima keahlian daripada parti gabungan PH dan Warisan.
“Keahlian mereka mestilah terdiri dari mereka yang bukan berada dalam parti-parti yang ada dalam kerajaan termasuk Warisan dan parti dalam PH.
“DAP, PKR dan Amanah tidak akan diterima oleh Bersatu, sebaliknya oleh parti siapa saja di Sabah yang ingin menyertai Bersatu akan diterima.
“Kita terhad kepada ahli parti Umno sahaja, ramai juga parti lain ingin menyertai dan kita bersedia untuk menerima mereka dengan syarat kita menapis semua permohonan.
"Tapisan ini juga dibuat secara individu dan bukan berkumpulan,” katanya menambah penubuhan Bersatu akan dilakukan dengan kadar segera.
Ditanya siapakah yang akan mengetuai Bersatu di Sabah, Mahathir berkata semestinya pemimpin dari negeri itu sendiri.
“Orang Sabahlah, (nama) kita baru nak pergi tetapi walaupun sudah ada ramai yang menyatakan dan menandatangani borang untuk menyertai Bersatu tetapi Bersatu sendiri tidak ada di Sabah,” katanya.
Ditanya apakah Bersatu telah mengadakan perbincangan dengan Warisan dan parti kompenan PH, Mahathir berkata tidak ada keperluan untuknya berbuat demikian.