Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam desak CJ, Badan Peguam buat pendirian
Diterbitkan:  Feb 15, 2019 12:21 PM
Dikemaskini: 4:21 AM

Peguam Sangeet Kaur Deo hari ini membidas beberapa pihak yang berterusan membisu selepas Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer membuat pendedahan berhubung kepincangan dan salah laku dalam institusi kehakiman menerusi afidavitnya, semalam.

Anak kepada bekas pengerusi DAP, Karpal Singh itu berkata kedudukan badan penghakiman negara kini tergugat dengan pendedahan Hamid.

“Pentadbiran sekarang dan Ketua Hakim Negara dengan segera menangani pendedahan Hamid Sultan yang menggemparkan itu.

“Kegagalan berbuat demikian akan menceritakan keadaan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Hamid Sultan antara lain mendakwa bahawa terdapat hakim-hakim tertentu yang membantu pihak swasta untuk menipu duit rakyat.

Kata hakim itu,  cara penipuan itu dilakukan melalui penama politik yang memeterai kontrak dengan kerajaan. Namun sebaik sahaja kerajaan membatalkan kontrak, katanya, pihak swasta akan mengheret kerajaan ke mahkamah untuk menuntut pampasan.

Hamid Sultan Abu Backer

"Kerajaan akan membuat kontrak dengan seorang penama politik tanpa hasrat untuk menghormatinya. Selanjutnya kerajaan akan menamatkan kontrak dan penama akan menyaman kerajaan untuk melanggar kontrak.

"Kerajaan boleh merekodkan penghakiman persetujuan yang menerima liabiliti dan bersetuju untuk menilai ganti rugi.

"Modus operandi ini terus berlaku untuk menafikan tuntutan palsu oleh tuntutan palsu," kata Hamid Sultan.

Mengulas pendedahan itu, Sangeet berkata Hamid Sultan seharusnya diberi perlindungan memandangkan hakim mahkamah rayuan tidak diperuntukan sebarang pengawal keselamatan.

“Beliau juga mesti diberi peluang untuk mendedahkan lebih lanjut tentang apa yang mahu diperkatakannya, melalui saluran rasmi,” katanya.

Peguam itu turut membiads Badan Peguam Malaysia yang belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung apa yang berlaku.

“Selepas afidavit itu difailkan, presiden Majlis Peguam mendapati adalah wajar untuk mendaimkan diri terhadap isu fundamental ini yang membabitkan integriti badan kehakiman.

“Badan Peguam mesti mengambil pendirian berhubung perkara ini,” kata Sangget.

Hamid dalam afidavit 150 para itu juga mendakwa beliau diberi teguran oleh hakim kanan susulan penghakiman yang dibuatnya dalam kes Indira Gandhi. Selain itu, katanya seorang hakim kanan turut mengarahkan Mahkamah Rayuan mengekalkan pensabitan mendiang Karpal Singh dalam kes melibatkan Akta Hasuta pada 2016.

Beliau juga mendakwa hakim-hakim tertinggi negara berkali-kali memanggil panel hakim Mahkamah Rayuan kes perbicaraan Liwat II Presiden PKR Anwar Ibrahim dan memberi arahan tindakan yang perlu dilakukan.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS