Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK peluang selesaikan isu tanah SRJKT Ladang Semenyih, kata MIC

Timbalan Presiden MIC, M Saravanan menyifatkan pilihan raya kecil (PRK) Semenyih sebagai peluang untuk menyelesaikan isu pertikaian tanah melibatkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Semenyih.

Justeru, Saravanan menggesa kerajaan Selangor tampil memberi penyelesaian pertikaian tanah antara pihak sekolah dan syarikat Sime Darby Property yang berlanjutan lebih sedekad.

"Sebelum ini ada banyak janji daripada Pakatan Harapan (PH). Tetapi, sekarang tiada siapa mengambil tahu (status tanah sekolah). PRK Semenyih ini merupakan satu hadiah tuhan bagi (penduduk) Semenyih.

"Maka, kerajaan PH perlu menyelesaikan isu pertikaian tanah SJKT Ladang Semenyih dengan segera," katanya kepada pemberita selepas demonstrasi anjuran MIC di hadapan sekolah, petang tadi.

Menurutnya lagi, ketika MIC berada dalam kerajaan negeri, pihaknya pernah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Sime Darby Property berhubung isu berkenaan.

"Tetapi, di penghujung perbincangan kerajaan nengeri telah ditukar. Jadi, kerajaan baru perlu dengan segera menyelesaikan pertikaian isu tanah ini sebelum PRK Semenyih," katanya.

Terdahulu, MIC bersama ahli-ahlinya mengadakan demonstrasi di hadapan sekolah menggesa kerajaan negeri memberi perhatian kepada isu pertikaian tanah berkenaan.

Bagaimanapun, Malaysiakini diberitahu bahawa demonstrasi tersebut diadakan tanpa persetujuan pihak sekolah.

SRJKT Ladang Semenyih yang ditubuhkan pada 1948 di atas tanah milik sebuah syarikat perladangan sebelum dijual kepada Sime Darby Property.

Bagaimanapun, pertikaian terjadi apabila pada 2010 pihak sekolah hanya diberi 3.8 ekar tanah berbanding yang ditetapkan garis panduan iaitu minimum enam ekar.

Pihak sekolah sebelum ini mendesak agar kerajaan negeri menepati garis panduan berkenaan, sementara Sime Darby Property pula berkata pihaknya dalam proses mendapatkan semula sebidang tanah yang diduduki sekolah berkenaan.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS