Pemimpin tertinggi PAS, Hashim Jasin, hari ini tampil mempertahankan tindakan Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang mengaku tidak berkata benar semasa dihadapkan dengan isu audio pengakuan menerima dana Umno.
Hashim yang kini dilantik menjadi mursyidul am PAS menggantikan bapa Nik Abduh berkata, anggota parlimen Bachok itu berbuat demikian kerana keadaan politik semasa yang disifatkannya dipenuhi "fitnah".
“Ada keperluanlah (berbohong) sebab dalam suasana terlampau banyak fitnah yang dilemparkan kepada PAS ini, maka secara logiknya maka kemungkinan (terpaksa berbohong)," katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun Hashim - yang turut terpalit dengan tuduhan Sarawak Report bahawa dia mendapat laba daripada dana Umno - mengakui tidak mengikuti isu berkenaan sejak awal.
Kata Hashim, langkah diambil Nik Abduh adalah dalam usaha PAS melemahkan musuh mereka melalui gerak kerja perang saraf.
Hashim berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nik Abduh yang mempertahankan tindakannya dulu menafikan kesahihan suara dalam audio terbabit sebelum mengakuinya secara rasmi semalam.
Malah dalam kenyataan panjangnya itu Nik Abduh mendedahkan penafian tersebut dibuat dengan restu Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Contohi sirah nabi
Ditanya lebih lanjut mengenai pendiriannya itu Nik Abduh kemudian menegaskan, langkah seumpama itu juga pernah dilakukan bapanya yang juga bekas menteri besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Mengulas lanjut, Hashim berkata ketika zaman Nabi Muhammad sebelum ini, seorang sahabat baginda, Naim Masud, juga terpaksa berbohong demi memecah-belahkan musuh Islam iaitu Yahudi dan Quraisy.
“Memang dalam Islam tak dibolehkan berbohong tapi dalam sejarah pernah berlaku di zaman Nabi Muhammad, Naim Masud, (dia) peluk Islam, dia bagitahu pada nabi (dia masuk Islam) dan nabi kata, jangan isytiharkan Islam kamu kerana kedudukan kamu boleh membantu jemaah.
“Kamu baik dengan orang Yahudi, orang Yahudi percaya dekat dia (Naim), Quraisy pun percaya pada dia (Naim juga).
"Jadi nabi ambil kesempatan tu sebagai perang saraf untuk dia bertindak supaya pecah-belahkan Yahudi dan Quraisy," katanya.
Baca Nik Abduh: Hadi restu saya nafi rakaman audio
Menurut Hashim pada zahirnya langkah itu memang suatu pembohongan tapi ada kepentingan yang besar kepada Islam, justeru Quraisy tak percaya kepada Yahudi dan Yahudi tak percaya kepada Quraisy.
Ditanya reaksi ahli PAS apabila melihat pimpinan mereka berbohong, Hashim berkata, situasi tersebut akan reda tidak lama lagi.
“Saya kira benda ni sekejap sahaja dan mereka akan saksikan kebenaran daripada tindakan yang dibuat,” katanya.
Hashim turut berkata, buat masa ini Majlis Syura Ulama PAS juga tidak membincangkan isu tersebut kerana ia berada diperingkat jawatankuasa politik.
“Perkara ni diluar pengetahuan saya kerana kami diajar tugas yang tertentu tak libatkan isu berbangkit kerana dia (isu lain) dibawa jawatankuasa pusat, politik.
“Jadi secara peribadi kami tak pernah bincang perkara itu dalam syura, tapi kalau ada perkara-perkara yang mendesak, yang dibenarkan oleh agama kita demi perkara yang lebih besar yang berbangkit.
"Jadi saya rasa cara (Nik Abduh) pegang dah betul, jadi ikut suasana tu,” katanya.