Setahun selepas kematian seorang pembantu rumah Indonesia di Malaysia yang terpaksa tidur di luar bersebelahan dengan anjing, ibunya memohon keadilan.
Kematian Adelina Lisao mencetuskan kemarahan orang ramai. Majikannya, seorang ibu dan anak perempuannya, telah diheret ke mahkamah dan berdepan dengan pertuduhan membunuh dan menggajikan pekerja asing tanpa dokumen tetapi perkembagan kes itu terlalu perlahan.
"Sudah setahun saya telah kehilangan anak," kata ibu Lisao, Yohana Banunaek, kepada pemberita pada Selasa lalu melalui Skype dari pekan Kupang di Indonesia.
"Dia mati bukan kerana sakit tetapi kerana diseksa," katanya semasa majlis peringatan untuk menandakan ulang tahun pertama kematian Lisao.
Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran pada Selasa lalu mengulangi jaminannya bahawa Malaysia bersedia untuk "mengisytiharkan perang" ke atas pemerdagangan manusia dan buruh paksa, sambil menambah bahawa kajian semula undang-undang buruh sedang dijalankan.
Kematian Lisao adalah antara siri kes penderaan pendatang asing di Malaysia. Negara ini banyak bergantung kepada pekerja asing dalam sektor perkilangan, perladangan dan kerja rumah.
Malaysia secara rasmi mempunyai hampir dua juta pekerja asing, walaupun beberapa pihak mengandaikan jutaan lagi bekerja di negara ini secara haram. Sebahagian besar mereka dipercayai adalah mangsa pemerdagangan manusia yang ditipu dengan janji-janji gaji lumayan.
Indonesia dan Kemboja, yang menjadi sumber utama pekerja asing ke Malaysia, pernah mengharamkan warga negara mereka daripada bekerja di Malaysia sebagai pembantu rumah susulan beberapa kes penderaan.
Lisao, berusia 20-an, diselamatkan dari rumah majikannya di Pulau Pinang pada 10 Februari tahun lalu selepas seorang jiran melaporkan dia tidur bersebelahan seekor anjing di tempat letak kereta tertutup di rumah berkenaan.
Kesan-kesan lebam ditemukan pada wajahnya dan pembantu rumah itu meninggal dunia akibat kecederaannya pada hari berikutnya.
"Setahun kemudian masih tiada keadilan," kata Glorene Das, pengarah eksekutif kumpulan hak asasi Tenaganita.
"Ini bukan kes terpencil, kami ada beberapa kes yang difailkan di mahkamah untuk gaji tidak dibayar, pemecatan dan potongan gaji yang tidak sah ... tetapi kes ini hanya tersadai begitu sahaja."
- Thomson Reuters Foundation