Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Dr M alu-alukan bekas ahli Parlimen Umno sertai Bersatu

Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad hari ini menyerahkan kad keahlian parti itu kepada beberapa bekas ahli parlimen Umno di Putrajaya.

Daripada tujuh mereka, enam hadir pada masa berita ini ditulis - Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsuddin, Hamzah Zainuddin (Larut), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Rosol Wahid (Hulu Terengganu) masih dalam perjalanan untuk menghadiri acara ini.

Mas Ermieyati, bekas timbalan menteri, meninggalkan Umno pada Julai tahun lalu dan mengemukakan permohonannya untuk menyertai Bersatu pada bulan Disember.

Enam yang lain itu pula bertindak meninggalkan Umno pada bulan Disember sebagai membantah kepimpinan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Hamzah adalah bekas timbalan menteri perdagangan, koperasi dan konsumer dalam negeri.

Beberapa pihak, termasuk di kalangan Pakatan Harapan, membantah keras tindakan menerima bekas ahli parlimen Umno ke dalam gabungan itu meskipun mereka menjadi ahli parlimen Bebas buat seketika.


Sementara itu, Bernama melaporkan Dr Mahathir berkata keenam-enam anggota parlimen itu diterima menyertai Bersatu setelah mengkaji permohonan mereka selain meletakkan syarat bahawa mereka hanya akan menjadi anggota biasa tanpa memegang sebarang jawatan dalam parti.

"Menjadi ahli Bersatu tidak bermakna mereka mencari perlindungan daripada parti ini. Kita tidak akan memberi perlindungan terhadap apa-apa yang dilakukan dahulu," katanya.

Dr Mahathir berkata Bersatu akan menggunakan khidmat anggota parlimen terbabit untuk tugas-tugas tertentu antaranya mendapatkan pendapat mereka serta memberi peluang kepada mereka untuk berkempen dalam pilihan raya untuk Bersatu dan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, Bersatu menerima permohonan anggota parlimen tersebut berikutan terdapat usaha untuk 'menghidupkan semula' Umno yang diperkuatkan melalui kerjasama dengan PAS.

"(Dahulu) Umno ini adalah parti kafir mengikut PAS dan ditolak sama sekali. Tetapi apabila untung bagi PAS, dia akan bekerjasama dengan semua parti," katanya.

Dr Mahathir berkata Bersatu memperjuangkan Melayu dan Bumiputera kerana mereka masih berasa tidak selamat jika tidak mempunyai jumlah perwakilan tertentu dalam parti gabungan dan kerajaan.

"Kita akan menentukan nasib mereka akan terpelihara sementara kita bekerjasama dengan parti-parti lain yang berbilang kaum termasuk DAP.

"Inilah hasrat kita dan telah kita jelaskan kepada keenam-enam orang (anggota parlimen) ini dan mereka faham," katanya.

Menjawab soalan mengapa anggota parlimen tersebut hanya menyertai Bersatu selepas Barisan Nasional tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14, Dr Mahathir berkata kadangkala pendirian terpaksa diubah mengikut keadaan semasa.

"Dahulu saya mengecam (Penasihat DAP) Lim Kit Siang dan (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tapi sekarang saya bersama mereka dan mereka juga dulu kecam saya.

"Kalau kita terikat kepada sesuatu pemimpin dan parti sehingga parti itu jadi parti penyamun pun kita kekal juga, itu bermakna kita bukan ahli politik tapi ahli untuk diri sendiri," katanya.

Dr Mahathir berkata jika parti-parti PH iaitu PKR, DAP dan Amanah juga membelot dan tidak lagi setia kepada negara, beliau juga akan bertukar kepada parti lain.

"Kita boleh berubah, kita bukan tetap selamanya," katanya.

[Baca berita penuh]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS