Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jaja jualan di lampu isyarat dapat sambutan di T'ganu
Diterbitkan:  Feb 12, 2019 11:49 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Pelbagai cara dan gaya pemasaran digunakan peniaga mahupun penjaja masa kini bagi menarik pelanggan membeli barangan jualan mereka. 

Jika sebelum ini mereka menggunakan platform jualan dalam talian, kini trend menjaja di tepi-tepi lampu isyarat seperti yang kebiasaan dilihat di negara-negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam menjadi ikutan peniaga di bandar raya ini.


Baca berita berkaitan: 'Lampu isyarat merah, kami pun cari rezeki'


Boleh dilihat kelibat para pemuda yang mundar-mandir di persimpangan lampu isyarat sekitar bandar raya Kuala Terengganu tampil berpakaian tradisional dengan seluar batik, baju pagoda putih dan topi terendak menjinjit barangan jualan sambil mencari pelanggan.

Setiap kali lampu isyarat bertukar warna merah, pemuda-pemuda ini akan mendekati pelanggan mereka yang berada di dalam kereta untuk menjual pelbagai jenis makanan antaranya bebola daging sos lada hitam, pelam (hirisan mangga muda) digaul asam boi dan pisang keju.

Trend perniagaan ini sebenarnya dirintis oleh usahawan muda anak Terengganu bermula akhir tahun lepas setelah melihat trend yang sama mendapat sambutan memberangsangkan di Kuala Lumpur dan Kelantan sebelum ini.

Hanya perlu lambai

Bagi Fahmi Reza Razak yang menjual bebola daging sos lada hitam dengan jenama 'Brehi Makang', konsep perniagaan di persimpangan lampu isyarat itu mempunyai banyak kelebihannya untuk peniaga dan golongan pembeli.

"Sebelum ni, saya berniaga di gerai bawah Jambatan Sultan Mahmud, namun jualannya agak perlahan kerana sukar untuk pelanggan memberhentikan kereta dan mencari parkir. 

"Malah, dalam keadaan mereka baru pulang dari pejabat, terkejar masa mengambil anak di taska atau rumah pengasuh, berhenti untuk membeli sesuatu di gerai bukanlah satu keperluan mendesak.

"Lain pula ketika mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat di mana masanya agak panjang sekitar satu hingga dua minit. Mereka hanya perlu melambai kepada pengedar Brehi Makang untuk menikmati bebola daging sos lada hitam yang sedap tanpa perlu bersusah payah beratur membeli di gerai seperti kelaziman," katanya ketika ditemui Bernama di Kuala Terengganu.

Trend perniagaan baharu itu juga mendapat maklum balas positif masyarakat di sekitar Kuala Terengganu yang kagum dengan semangat keusahawanan golongan muda tersebut tanpa menghiraukan penat lelah, hujan panas dan perasaan malu untuk berniaga.

Ketika mula berniaga pada Oktober tahun lalu, Fahmi Reza menjual menu itu bersama seorang rakannya di satu persimpangan lampu isyarat namun permintaan yang naik mendadak membuatkan beliau kini memiliki 13 pekerja untuk mengedar menu itu di empat lokasi berbeza setiap hari.

60 pengedar, 7 lokasi

Setiap pek makanan yang mengandungi 10 bebola daging, kentang putar, brokoli dan lobak itu dijual pada harga RM10 setiap satu dan mereka hanya menjual pada sebelah petang sahaja.

Kejayaan Brehi Makang yang mempelopori trend jualan di persimpangan lampu isyarat itu turut memberi motivasi kepada beberapa usahawan muda yang lain antaranya Helmi Haffizudin, 29, yang menjual jeruk mangga muda dengan jenama 'Pelam Asam Boi Kak Tie' bermula Januari lalu.

Helmi berkata ibunya telah lama menjual jeruk mangga itu di Pasar Besar Kedai Payang dan beliau yakin jeruk mangga akan lebih laris jika dijual di persimpangan lampu isyarat memandangkan ia adalah snek buah-buahan yang sihat dan sentiasa menjadi kegemaran ramai.

"Pelanggan setia Pelam Asam Boi Kak Tie ini memang sudah ramai namun saya tidak sangka sambutannya sangat luar biasa apabila dijual dengan cara itu. Setakat ini, kami sudah mempunyai 60 pengedar yang berada di tujuh lokasi persimpangan lampu isyarat dan 35 tukang kupas mangga yang terlibat dalam proses pembuatan jeruk mangga ini.

"Setiap hari, kami menggunakan 1,000 kilogram (kg) mangga muda dan 5kg cili api berserta asam boi untuk menghasilkan jeruk mangga yang rangup, masam, lemak manis dan pedas yang menepati selera ramai," katanya yang sangat mengutamakan kebersihan dalam penghasilan jeruk itu.

- Bernama 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS