Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Tak logik Umno bagi PAS RM90 juta untuk tumbangkan Umno'
Diterbitkan:  Feb 10, 2019 7:50 PM
Dikemaskini: 12:45 PM

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata adalah tidak masuk akal jika parti itu menyalurkan dana sebanyak RM90 juta kepada PAS bagi menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

"Secara logiknya takkan Umno beri RM90 juta kepada PAS untuk menumbangkan Umno.

"Saya sendiri kalah kepada PAS (pada Pilihan Raya Umum lalu)," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pemuda pembangkang di Semenyih petang tadi.

Menurut Asyraf beliau yakin isu yang dibangkitkan Pakatan Harapan (PH) itu tidak akan merencatkan kempen BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 16 Februari nanti.

Asyraf sebaliknya berkata isu RM90 itu membuktikan PH ketandusan idea sehingga terpaksa membangkitkan perkara yang tidak relevan.

Suruhanjaya Pencegarah Rasuah Malaysia (SRPM) sebelum ini membuka siasatan berhubung dakwaan parti Islam itu menerima dana sebanyak RM90 juta daripada Umno.

Ia susulan satu laporan polis yang dibuat selepas PAS menyelasaikan saman berhubung kontroversi itu di luar mahkamah dengan pemilik portal Sarawak Report, Browne Clare.

Anggota jawatankuasa PAS pusat, Nik Muhammad Abduh Nik Aziz, bekas timbalan presiden PAS, Nashruddin Mat Isa antara yang sudah dipanggil SPRM bagi merakam kenyataan.

'Bukan saja manifesto, sijil pun tipu'

Sementara itu Asyraf berkata, pembangkang tidak perlu memainkan isu mengenai kelayakan akademik pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil DUN Semenyih.

Ini kerana katanya, PH sendiri telah membuka pekung mereka dalam isu berkenaan.

"Bukan dimainkan (dijadikan isu kempen), sebaliknya mereka yang buka pekung sendiri, mereka yang menipu rakyat.

"Jangan salah faham, kita tidak pertikaikan soal kelayakan untuk menjadi menteri, bahkan tidak perlu ada sijil berjela atau PhD untuk jadi menteri.

"Yang paling penting jujur, integriti. Mereka yang tidak ada integriti elok letak jawatan secara terhormat," katanya.

Beliau mengulas berhubung dakwaan pemalsuan ijazah beberapa pemimpin politik PH termasuk melibatkan Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya yang didakwa tidak menamatkan pengajian peringkat ijazah di Universiti Cambridge di UK. 

Susulan itu Marzuki pada 8 Jan lalu tampil mempertahankan ijazah pentadbiran perniagaan yang diperolehinya daripada Cambridge International University (CIU) di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun terdapat kejanggalan pada transkrip universiti yang dilampirkan Marzuki apabila semakan mendapati gred di transkripnya serupa dengan transkrip contoh (template) di laman CIU.

CIU juga didakwa sebagai 'kilang pengeluar sijil'.

Selain Marzuki, Menteri Besar Johor, Osman Sapian juga berdepan dakwaan berbohong memiliki ijazah perakaunan dari Universiti Putra Malaysia. Osman bagaimanapun enggan melayan dakwaan berkenaan.


Baca: Syed Saddiq: Pemalsuan ijazah tindakan tidak bermoral


Sementara itu Asyraf berkata, rakyat seharusnya menjadikan PRK DUN Semenyih sebagai refrendum terhadap kegagalan kerajaan PH menunaikan segala janji pilihan rayanya.

Kemarahan rakyat berhubung kos sara hidup yang semakin meningkat, harga minyak belum mencapai paras dijanjikan sebanyak RM1.50 sen perlu diterjemahkan pada PRK kali ini.

"Apatah lagi tol yang gagal dihapuskan, saya kira sangat sesuai kerana pendudu Semenyih hari-hari menggunkan tol," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS