Dasar baru bagi meningkatkan kebajikan petani, nelayan dan pekebun kecil akan diperkenalkan bulan depan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.
Dalam wawancara Malay Mail, Salahuddin berkata dasar berkenaan akan menggantikan dasar sedia ada yang telah menyebabkan golongan petani, nelayan dan pekebun kecil terus berada dalam golongan B40.
"Kita gagal mencapai sasaran kerana nelayan, petani, peladang dan pekebun kecil masih jatuh dalam golongan B40.
"Jadi apa yang silap? Selepas tujuh bulan menjaga kementerian, saya cuba memikirkan perkara ini," katanya seperti dipetik.
Justeru, kata Salahuddin, dasar baru yang akan diperkenalkan bertujuan meningkatkan masa depan golongan berkenaan.
Tambah Salahuddin, bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi dan pada masa yang sama harga berpatutan, mudah didapatkan serta selamat, ia melibatkan proses yang rumit.
"Jika tidak, kita perlu import makanan," kata timbalan presiden Amanah itu.
Beliau turut menyorot keperluan pelan jangka masa panjang bagi empat faktor meningkatkan penghasilan produk makanan tempatan.
Faktor itu, katanya, melibatkan semua pihak berkepentingan, dari wakil rakyat sehingga golongan yang menghasilkan produk.
Bulan lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, bantuan saja tidak akan menangani kemiskinan dalam kalangan nelayan dan petani.
Mahathir mencadangkan agar golongan berkenaan mempertimbangkan alternatif lain bagi memaksimumkan penghasilan dan seterusnya meningkat pendapatan mereka.