Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA tanya Marzuki: 'Bro, berapa lama ambil masa edit transkrip?'
Diterbitkan:  Feb 8, 2019 11:39 PM
Dikemaskini: 3:39 PM

Terdapat tiga kemungkinan bagaimana gred bagi kesemua sembilan mata pelajaran serta purata nilai gred (GPA) Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya boleh selari dengan transkrip contoh (template) di laman web Cambridge International University (CIU).

Presiden MCA, Wee Ka Siong melontarkan persoalan itu dalam hantarannya di Facebook malam ini.

"Kemungkinan pertama: Ini ialah kebetulan yang amat luar biasa. Lebih susah untuk ditemui berbanding dengan kita kena hadiah pertama Sports Toto.

"Kemungkinan kedua: Universiti yang sudah lama diragui ramai ini, menghantar keputusan yang serupa kepada semua "graduan" yang membayar yuran.

"Kemungkinan ketiga: Bro, berapa lama dipakai untuk copy/ paste/ edit?" Soal Wee.

Latar belakang akademik Marzuki menjadi pertikaian selepas pengkritik mempersoalkan ketulenan ijazah sarjana mudanya.

Dalam suatu kenyataan hari ini, Marzuki berkongsi transkrip akademinya yang didapati terdapat beberapa kejanggalan.

Gred bagi kesemua sembilan mata pelajaran serta purata nilai gred (GPA) sama dengan transkrip contoh (template) di laman web CIU.

Ia termasuk gred 3.9 bagi mata pelajaran 'Economics', di mana kedua-dua sijil - Marzuki dan transkrip contoh - tertera 'A'. Menurut penjeleasan gred, 'A' memberi markah 4, manakala 'A-' 3.7.

Transkrip itu bagaimanapun tidak kelihatan telah diubahsuai. Analisis Malaysiakini menunjukkan ada tanda ia merupakan dokumen yang dicetak.

Laman web itu pada masa ini tidak dapat diakses ekoran kemungkinan digodam, tetapi laman galeri masih boleh dilayari melalui cache Google.

Selain gred dan GPA yang sama, perincian lain dalam transkrip - iaitu nombor pengenalan pelajar, pengkhususan, tarikh dikeluarkan, dan perincian kursus - berbeza.

Jenis aksara (font) yang digunakan untuk teks juga berbeza manakala tanda tangan di sijil Marzuki tampak tidak selancar - walaupun sama - dengan tanda tangan di transkrip contoh.

Marzuki mendakwa beliau tidak pernah mencuba untuk menampilkan dirinya sebagai graduan University of Cambridge. Bagaimanapun, satu artikel Bernama mengenai pelantikannya sebagai senator menyatakan beliau merupakan graduan institusi pengajian tinggi di UK itu.

CIU yang didakwa sebagai 'kilang ijazah' tidak ada kena-mengena dengan University of Cambridge di UK.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS