ADS
mk-logo
Berita
Pembakar bendera M’sia tak wakili Filipina - kedutaan
Diterbitkan:  Feb 8, 2019 6:00 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Pihak berkuasa Filipina akan menangani insiden orang awam bertindak membakar bendera Malaysia di negara itu seperti yang dipaparkan dalam sebuah klip video, dengan sewajarnya.

Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan hari ini berkata kedutaan tidak akan membiarkan kejadian itu dan menyesali bahawa ia telah menyinggung perasaan rakyat Malaysia.

“Kedutaan mengulangi jaminannya yang benar-benar komited terhadap perkembangan hubungan dua hala yang sangat baik antara Filipina dan Malaysia,” kata kenyataan itu.

ADS

 Menurut kenyataan itu, kejadian membakar bendera itu dilakukan oleh seorang individu yang diketahui telah melakukan banyak perkara kontroversi pada masa lalu dan tindakannya tidak mewakili kedudukan rasmi negara Filipina.

Video kontroversi itu disiarkan dalam akaun Facebook ‘President Pamatong Supporters’ pada 19 dan 21 Jan lepas, memaparkan Elly Pamatong, yang mengaku sebagai pengasas ‘United States Allied Freedom Fighters of the East’ (USAFFE), membakar bendera Malaysia.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Sabah mengecam tindakan itu kerana ia merupakan perbuatan yang keterlaluan, terkutuk dan penghinaan kepada negara dan rakyat Malaysia.

Presidennya Brig Jen (K) Rela Datuk Jerry Ambuting Mohd Said berkata pihaknya membantah sekeras-kerasnya perbuatan keji itu dan meminta pihak berkuasa Filipina mengambil tindakan tegas terhadap Elly.

Beliau turut meminta pejabat Kedutaan Filipina di ibu negara memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia berhubung tindakan berkenaan kerana tidak mahu hubungan baik antara dua negara terjejas akibat insiden ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS