ULASAN | Tiba-tiba nama pemilik produk minuman tempatan, Azri Zahier Azmi, popular ekoran kekasaran bahasanya dengan "membabikan" Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tempoh hari.
Dia mendakwa berasa kecewa dengan janji dan harapan yang gagal ditunaikan diberikan Syed Saddiq, iaitu mempromosikan air minumannya selepas dia memberi penajaan minuman percuma pada mesyuarat kabinet.
Selain membabikan Ketua Pemuda Bersatu itu, Azri - didakwa anak bekas pegawai kanan Ahmad Zahid Hamidi itu - turut melanjutkan rasa tidak puas hatinya dengan mengharapkan Syed Saddiq membayar semula kos 48 botol air minuman yang ditajanya, iaitu bernilai RM19.
Hal itu kerana, menurut pandangan Azri, Syed Saddiq tidak mempromosikan jenama air minuman itu di akaun media sosialnya.
Tuan punya badan khabarnya berasa tertipu oleh menteri muda itu kerana produknya hanya dipromosikan dengan diletakkan di atas meja mesyuarat kabinet, bukannya dalam akaun Instagram seperti yang dilakukan pada kek coklat Absolut Chocolat.
Pemilik jenama Hausboom itu kemudian menuduh pengusaha kek coklat tersebut, Ben Ali, mendapat keistimewaan tersebut atas dasar kronisme memandangkan dia merupakan exco Pemuda Bersatu.
Sebenarnya ia bukan sekadar soal siapa betul atau salah sebaliknya jika benar amalan kronisme berlaku, maka ia bukanlah situasi yang asing di negara ini.
Amalan yang lebih dikenali dengan "guna kabel" itu juga tidak hanya diguna pakai dalam perniagaan, malah terjadi dalam perkara lain, seperti mendapatkan kerja, kemasukan sekolah berasrama penuh dan lain-lain lagi.
Bagi mereka yang lebih rela mengejar kejayaan dengan berdiri atas kaki sendiri - dan tanpa perlu mencari 'kabel' - memang sudah lali dengan keadaan sebegitu.
Anak muda, tenaga dan darah panas
Amalan kronisme ini hanya memberikan seseorang jalan pintas untuk berjaya, tapi pada masa sama tidak adil kepada mereka yang berusaha secara ikhlas.
Bukankah lebih baik sekiranya anak muda - dengan tenaga, semangat dan darah panas mereka itu - belajar berusaha dengan kemampuan yang ada dan tidak bergantung kepada ahli politik?
Bukankah dengan bersandar di bahu politikus itu sebenarnya mereka seakan-akan menyerahkan tengkuk sendiri untuk mungkin diikat dan ditarik-tarik di kemudian hari?
Atau sebenarnya kita sudah terlalu terbiasa dan bersebati dengan amalan sebegitu sehingga terlalu sukar untuk ditanggalkan dari pemikiran?
Dan alangkah bagus sekiranya masa boleh diputar ke belakang supaya Azri lebih cermat berfikir serta mencari maklumat sebenar supaya dia tidak mengaibkan diri sendiri dengan membabikan seseorang.
Mentang-mentanglah kalendar Cina baru saja menyambut kedatangan tahun babi.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Azri bagaimanapun telah meminta maaf dan memadam status Facebook tersebut selepas dikecam bertubi-tubi.
Namun, ada kemungkinan juga ia disengajakan kerana kadang-kadang kontroversi boleh membawa laba berlipat kali ganda. Ia bukan sesuatu yang asing.
Beberapa pengusaha komestik sudah membuktikannya.
Untuk rekod, anak kepada pemilik Berjaya Corp Bhd, Marvin Tan, melalui akaun Instagramnya semalam mempertahankan Syed Saddiq.
Katanya Syed Saddiq berjumpa dengan bapanya, Vincent Tan, untuk mempromosikan produk lokal - termasuklah Hausboom - di kedai serbaneka 7-eleven.
Vincent ialah pemegang 49 peratus saham kedai serbaneka tersebut.
Kesempatan berpolitik
Kata-kata kasar Azri itu turut ditegur oleh Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki supaya pemilik air minuman itu menjaga tutur bahasanya.
Namun, dalam tegurannya itu, Asyraf turut mengambil kesempatan dengan memperlihatkan dirinya seperti penyelamat keadaan dengan mempromosikan secara tidak langsung minuman tersebut.
Beliau memuat naik gambarnya memegang botol minuman itu sambil secara sinis menulis:
"Nak tolong promosi jus minuman Hausboom keluaran anak muda Bumiputera.
"Jangan risau saya tidak akan tuntut komisen. Cuma sediki nasihat buat anak muda pengasas produk, molek jaga tutur kata pada masa depan. Maafkanlah YB menteri muda yang masih baru lagi itu. Syabas anak muda."
Agak malang bagi Syed Saddiq yang sering 'dibuli' kerana usianya yang muda semasa memegang jawatan menteri.
Tetapi adalah menyedihkan apabila ada ahli politik dari pembangkang mengambil kesempatan dengan publisiti murahan sebegitu.
Ia tidak menjadikan mereka sebagai ahli pembangkang yang berkualiti, sebaliknya pembangkang yang malas dan inginkan kerja mudah untuk menghentam kerajaan.
Tetapi apa yang pasti, buat masa ini kelebihan masih memihak kepada Azri.
YASMIN RAMLAN ialah wartawan Malaysiakini.
Artikel ini merupakan pendapat peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.