Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | Tidak semua orang yang menggunakan dadah melakukan jenayah, kata beberapa pakar perubatan Malaysia.

Bekas ketua penolong pengarah rawatan dan pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dr Sangeeth Kaur, berkata statistik menunjukkan ramai pesalah dadah dipenjara kerana menggunakan dadah namun tidak melibatkan jenayah lain.

“Tidak boleh kalau dikatakan semua penjenayah melakukan jenayah disebabkan dadah. Tidak boleh,” katanya.

Dalam pertemuan dengan Malaysiakini baru-baru ini Sangeeth memberitahu pada 2017 seramai 208,550 orang ditangkap polis untuk saringan air kencing dan 80,925 ditangkap kerana menggunakan dadah dan tiada kaitan dengan jenayah lain.

Pendapat itu disokong Ketua Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Mahsa, Prof Dr Hussain Habil, yang berkata kebanyakan pelaku jenayah kekerasan tidak semestinya mengambil dadah sebaliknya mempunyai masalah mental.

“Sekarang ini, apa saja jenis keganasan akan dikaitkan dengan penagihan dadah.

“Kami yang berkecimpung dalam rawatan psikiatrik ini mendapati kebanyakan mereka yang melakukan jenayah keganasan tak semestinya di bawah pengaruh dadah walaupun air kencing mereka positif.

“Ini kerana dadah masih boleh dikesan dalam air kencing selepas beberapa minggu diambil, bergantung kepada jenis dan kekerapan penggunaan," katanya.

Risiko 100 kali lebih tinggi

Menurut Hussain lagi kini wujud kecenderungan untuk mengaitkan semua jenayah dengan dadah kerana ia mewujudkan elemen sensasi.

Pada masa sama katanya kadang-kadang masyarakat gemar kepada unsur sensasi tersebut.

"Jadi tanpa melihat secara mendalam, maka dilabelnya begitu,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai ketua Jabatan Psikologi Perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Hussain Habil

Hussain yang merupakan pakar kesihatan mental dan bekas presiden Persatuan Psikiatrik Asean berkata fakta sebenar menunjukkan pesakit skizofrenia lebih berisiko membunuh daripada orang yang tiada sakit tersebut.

“Fakta yang sebenarnya ialah mereka yang mengalami penyakit skizofrenia mempunyai risiko untuk membunuh 100 kali lebih tinggi berbanding individu yang tiada skizofrenia.

“Jadi tindakan mengaitkan semua mereka adalah penagih ataupun orang yang mengambil dadah adalah tidak tepat,” katanya.

Ancaman sakit TB

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid, pula berkata pemenjaraan akibat penggunaan dadah meningkatkan risiko penyakit berjangkit seperti batuk kering (TB).

“Itu sebab penjara dah jadi inkubator (tempat pembiakan) penyakit kerana tahap penjagaan kesihatan dalam tahanan adalah terhad.

“Kalau kita boleh menggantikan hukuman jenayah tersebut dengan rujukan perubatan, maka kita boleh kosongkan 56 peratus banduan di penjara,” katanya kepada Malaysiakini.

Berdasarkan statistik Jabatan Penjara 56 peratus daripada jumlah banduan di negara ini dijel kerana kesalahan berkaitan dadah pada 2017.

Utusan Malaysia pada Jun 2017 pula melaporkan statistik Jabatan Penjara bagi tahun 2016, berkata terdapat seramai 71.3 peratus atau 23,885 daripada jumlah banduan yang melakukan kesalahan berkaitan dadah terdiri daripada orang Melayu.

"Statistik daripada PDRM pula menunjukkan kadar penagihan dadah dalam kalangan orang Melayu berada pada tahap membimbangkan apabila mencatatkan 71 peratus daripada jumlah tangkapan sejak 2014 sehingga Mei tahun 2017," kata akhbar itu.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada 2017 pula mencatatkan kadar penyakit TB yang aktif di Penjara Kajang bagi banduan ialah sebanyak 88.8 peratus, manakala membabitkan kakitangan penjara pada kadar 87.6 peratus.

“Banduan yang berpenyakit berjangkit bukan hanya merisikokan banduan lain, tetapi dia juga merupakan risiko kepada kakitangan penjara, saudara-mara, pelawat dan seterusnya komuniti yang lebih meluas.

“Suhakam mengambil maklum bahawa rawatan segera untuk mengenal pasti penyakit tuberkulosis (TB) di penjara masih lagi rendah.

“Bilangan doktor yang ditempatkan di penjara tidak seimbang dengan jumlah banduan. Misalnya di Penjara Kajang dengan 4,612 banduan (semasa kajian dijalankan), hanya dua doktor bertugas,” kata Laporan Hak Kepada Kesihatan Di Dalam Penjara 2017 oleh Suhakam.

Ada rasuah, ada dadah

Fakta Kesihatan 2014 dikeluarkan Pusat Maklumat Kementerian Kesihatan pula menyatakan nisbah doktor dan populasi Malaysia setakat 31 Disember 2013 adalah seorang doktor bagi 633 penduduk.

Rusdi bersetuju dengan laporan Suhakam dan berkata kelengkapan perubatan di dalam penjara tidak mencukupi.

Katanya seseorang banduan yang sakit memerlukan masa yang lama untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

“Kebiasaannya, kita batuk lebih dari dua minggu, kita akan pergi x-ray sama ada TB atau tidak. Tetapi di penjara, banduan batuk lebih sebulan pun sukar untuk dapatkan perhatian perubatan.

“Sukar untuk membawa banduan menjalani x-ray atau rawatan kerana kelengkapan doktor dalam penjara tidak mencukupi selain faktor kekurangan pengangkutan dan aspek keselamatan, maka terpaksa menunggu sebulan atau dua bulan untuk ke hospital,” katanya.

Rusdi juga berkata walaupun orang yang menggunakan dadah dimasukkan ke penjara, mereka masih boleh mendapatkan bekalan jika wujud unsur rasuah.

Sebab itulah, katanya, di beberapa negara lain ada program pemberian methadone dan penukaran jarum di dalam penjara.

Katanya ia dilakukan bukan bertujuan menggalakkan penggunaan dadah tetapi mengurangkan kemudaratan seperti mencegah penyebaran penyakit berjangkit.

“Dan di dalam penjara cara mereka menggunakan jarum lebih bahaya. Menurut kajian, kalau di luar satu jarum dikongsi dengan lapan orang, di dalam penjara satu jarum dikongsi dengan 100 orang,” katanya sambil menjelaskan risiko penyebaran HIV dan penyakit lain seperti hepatitis C di kalangan pengguna dadah.

Terlalu banyak kerosakan

Pada 14 Januari lalu, dilaporkan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah untuk tahanan penjara di sekitar Johor.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata rampasan dianggarkan bernilai RM814,000 melibatkan 9.88kg dadah disyaki syabu, 16.4kg heroin dan 940 biji pil ekstasi. Polis turut menyita aset bernilai RM189,000.

Menjelaskan isu itu, Hussain memetik buku Ending The War On Drugs berkata apabila kaedah pemenjaraan sebagai rawatan penagihan digunakan, maka dadah tetap akan menyelinap asuk melalui rasuah dan salah guna kuasa.

“Jadi salah satu masalah perang ke atas dadah ialah, ia menarik banyak masalah rasuah.

“Ia bukan saja di Malaysia tapi di mana-mana apabila kita menggunakan kaedah incarceration, iaitu memenjarakan atau memasukkan penagih ke pusat pemulihan, maka akan berlaku penyeludupan dadah.

“Kena ingat apabila penagih ini masuk ke pusat Serenti, penjara, siapa nak jaga keluarga, anak bininya? Mungkin dia satu-satunya pencari nafkah keluarga,” katanya yang juga merupakan anggota Lembaga Penasihat Senat Universiti Mahsa.

Hartawan Virgin Airlines, Richard Branson yang menulis pendahuluan dan menjadi editor penyelenggara buku tersebut berkata, perang antidadah mengakibatkan terlalu banyak kerosakan kepada terlalu ramai orang.

Bekas presiden Mexico, Ernesto Zedillo, bekas presiden Switzerland, Ruth Dreifuss dan bekas presiden Brazil, Henrique Fernando Cardoso merupakan antara penyumbang untuk buku berkenaan.

Ending The War On Drugs merumuskan undang-undang larangan penggunaan dadah telah meletakkan “pasaran dadah di tangan penjenayah terancang."

“Selepas lima dekad perundangan yang melarang memproses, menjual dan memiliki dadah tertentu, penggunaan dadah haram terus meningkat tinggi dan kira-kira AS$100 bilion wang kerajaan dibelanjakan setiap tahun di seluruh dunia dalam penguatkuasaan undang-undang jenayah berkaitan dadah,” catat buku itu.

BERITA BERKAITAN:

'Dihukum mati selalunya keldai dadah, bukan ketua sindiket

Ketagihan dadah perlu ditangani doktor, bukan polis - Pakar

Positif dadah tak semestinya penagih - Pakar

Pensyarah: Sekarton rokok lebih bahaya dari 200g ganja


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS