Sebuah syarikat pembuat sarung tangan akan dibawa ke mahkamah berhubung dakwaan tidak membayar gaji dan kesalahan berkaitan yang lain.
Ia susulan siasatan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia selepas 2,000 pekerja warga Nepal syarikat itu membuat mogok tiga hari.
"Pendakwaan akan dibuat dalam masa terdekat bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang dan memberi peringatan kepada majikan lain," kata JTK dalam kenyataan hari ini.
Jabatan itu bagaimanapun tidak memaklumkan peruntukan undang-undang yang akan digunakan terhadap syarikat tersebut.
Sejumlah 2,000 pekerja WRP Asia Pacific Sdn Bhd - syarikat pembuat sarung tangan di Sepang, Selangor - melancarkan mogok awal minggu ini dan mendakwa mereka sudah tiga bulan tidak mendapat gaji.
JTK dimaklumkan tentang mogok itu oleh polis pada 29 Januari lalu.
Ia berkata telah berkunjung ke premis syarikat bersama wakil Jabatan Perhubungan Perusahaan, Kedutaan Bangladesh dan Kedutaan Nepali bagi mengenal pasti punca mogok.
"Siasatan mendapati sebab utama mogok pekerja adalah kegagalan majikan membayar gaji mereka dari November 2018 hingga Januari 2019."
Antara kesalahan lain yang turut dikenal pasti, kata jabatan itu lagi, ialah lewat membayar upah lebih masa dan potongan upah tidak sah.
Selepas berbincang dengan pengurusan syarikat, katanya lagi, WRP Asia Pacific setuju untuk membayar gaji dan upah lebih masa yang tertunggak secara berperingkat, dengan bayaran akhir pada 28 Februari.
Disember lalu, siasatan The Guardian mendedahkan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan England menggunakan sarung tangan perubatan yang dibuat di kilang-kilang Malaysia dengan menggunakan pekerja asing yang didakwa menjadi buruh paksa.
Menurut laporan itu, para pekerja dikerahkan kerja lebih masa, terikat perhambaan hutang, bayaran gaji ditahan dan pasport mereka disita majikan.
WRP dan satu lagi syarikat pembuat sarung tangan utama dinamakan dalam laporan itu.
Tiga daripada 19 buruh yang ditemubual oleh The Guardian bekerja untuk WRP dan mereka mengadu mengenai kerja lebih masa yang melampau, rampasan pasport dan penahanan bayaran gaji secara tidak sah.