Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Hampir 2,000 pekerja Nepal di kilang pembuatan sarung tangan di Sepang menamatkan mogok tiga hari mereka hari ini selepas pihak pengurusan berjanji untuk melangsaikan bayaran gaji mereka.

Sumber memberitahu Malaysiakini pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dari Bangi berada di tempat kejadian di premis syarikat WRP Asia Pasifik awal hari ini untuk pemeriksaan, serta bertemu dengan pekerja yang mogok dan pihak pengurusan mereka.

"JTK telah mengesahkan pekerja berkenaan tidak dibayar gaji mereka selama tiga bulan terakhir.

"Mereka juga mendapati pekerja itu hidup dalam keadaan yang teruk," kata sumber yang juga seorang aktivis buruh.

Sumber menjelaskan beliau berkomunikasi dengan rakan sejawat di Nepal yang telah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa di sana.

Kedutaan Nepal turun berbincang

Sumber berkata, dia dimaklumkan rakannya dari Nepal bahawa pegawai hal ehwal buruh dari Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur terlibat dalam perbincangan dengan pengurusan kilang tersebut pada awal hari ini.

"Saya dimaklumkan bahawa kes itu diselesaikan.

"Syarikat itu akan membayar semua gaji dalam minggu ini," kata sumber itu.

Pada Disember lepas, siasatan The Guardian mendedahkan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan England menggunakan sarung tangan perubatan yang dibuat di kilang-kilang Malaysia dengan menggunakan pekerja asing yang didakwa menjadi buruh paksa.

Menurut laporan itu, para pekerja dikerahkan kerja lebih masa, terikat perhambaan hutang, bayaran gaji ditahan dan pasport mereka disita majikan.

The Guardian menyebut WRP dan satu lagi pengeluar sarung tangan utama negara didakwa mendedahkan ribuan pekerja asing dari Nepal dan Bangladesh kepada keadaan kerja yang menindas.

Tiga daripada 19 buruh yang ditemubual oleh The Guardian bekerja untuk WRP dan mereka mengadu mengenai kerja lebih masa yang melampau, rampasan pasport dan penahanan bayaran gaji secara tidak sah.

Seorang pelanggan berpotensi yang pernah melawat kilang WRP itu dipetik The Guardian berkata dia terkejut dengan apa yang disaksikannya. Pelanggan itu mendakwa keadaan pekerjaan keseluruhannya merupakan "kondisi yang paling buruk yang pernah dilihatnya".

Antara lain, laporan itu mendakwa suhu kilang mencecah sehingga 70 darjah celsius bagi mereka yang bekerja berhampiran ketuhar dan lebih daripada 3,000 pekerja ditempatkan di sebuah asrama yang dibina untuk kapasiti 1,800 orang.

Dalam satu kenyataan kepada The Guardian, Ketua Esekutif WRP Lee Son Hong menolak tuduhan buruh paksa itu sebagai "tidak berasas" dan menegaskan tidak pernah menahan atau menangguhkan bayaran gaji bagi mana-mana pekerja.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Sepang, Abdul Aziz Ali mengesahkan para pekerja telah berpiket di luar kilang itu sejak tiga hari yang lalu.

"Ya, mereka mengadakan mogok, tetapi isu itu telah diselesaikan," kata Abdul Aziz kepada Malaysiakini.

Walau bagaimanapun, Abdul Aziz berkata tiada kenyataan direkodkan daripada majikan kerana kes ini tidak melibatkan unsur jenayah.

"Ini bukan kes jenayah. Ini adalah (pertikaian) antara pekerja dan majikan mereka.

"Apabila majikan mereka tidak membayar gaji mereka selama tiga bulan, mereka marah dan mengadakan mogok.

"Apabila masalah gaji diselesaikan, mogok berakhir," katanya.


Laporan tambahan oleh Faisal Asyraf.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS