Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Biarpun mengalami kebakaran sehingga menyebabkan lebih 300 penduduknya hilang tempat tinggal baru-baru ini, Pulau Banggi - pulau terbesar di Malaysia - tidak akan mendapat balai bombanya sendiri buat masa ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata selepas dibuat pertimbangan, pulau tersebut tidak mempunyai kelayakan untuk pembinaan sebuah balai bomba.

“Dalam kes Pulau Banggi, memang tak ada kelayakan.

“Tapi kita juga ada bomba sukarelawan di situ, dan mereka akan menjadi (pihak) pertama bertindak bagi menghadapi kebakaran," katanya.

Menurut Zuraida kerajaan sentiasa menggalakkan penduduk setempat menubuhkan pasukan bomba sukarela dan mereka akan diberikan latihan serta peralatan asas bagi menjalankan tugas.

Anggota parlimen Ampang itu berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian Rumah Transit dan Rumah Mampu Milik antara kerajaan Malaysia dengan syarikat pembinaan Kery Sdn Bhd dan Tisy Sdn Bhd di Kuala Lumpur.

Sebelum itu, Zuraida merasmikan pelancaran Dasar Perumahan Negara 2018-2025.

Bergantung kepada peruntukan

Pada 13 Jan lalu, media melaporkan berlaku kebakaran di Pulau Banggi yang memusnah atau merosakkan 81 rumah, dua kuarters guru, dan seramai 300 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Pulau Banggi yang terletak di Sabah merupakan pulau terbesar di Malaysia dengan kepadatan lebih 20,000 penduduk.

Untuk rekod Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah, pernah dilaporkan mengakui keperluan pembinaan balai bomba di pulau berkenaan.

Dipetik Berita Harian, Kata Kamaruzzaman berkata perkara tersebut sedang dikaji, termasuk urusan mencari tapak bersesuaian.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung pada peruntukan dan kemampuan kerajaan serta harus mengikut giliran sebelum dapat dibina.

Kamaruzzaman turut memaklumkan bahawa pasukan bomba sukarelawan yang ada di pulau tersebut sebenarnya tidak aktif dan perlu digerakkan semula, selain mencadangkan kempen pemberian satu alat pemadam api bagi setiap rumah di pulau itu.

Tambah Zuraida, untuk Pulau Banggi kerajaan tidak bercadang membina balai bomba biarpun berkategori rendah kerana berpendapat masalah dihadapi penduduk di situ tidak boleh diselesaikan secara tergesa-gesa.


Baca Pulau Banggi: Terbesar, terpinggir dan terlupakan


“Di Pulau Banggi tu ada pembangunan yang hendak dibuat dan sebagainya, jadi kita kena lihat jangka panjang, bukan ad hoc.

“(Misalnya) satu kali Banggi terbakar, taruk satu bomba. Satu kali rumah kau terbakar? Macam mana?” katanya lagi.

Sementara itu, terdahulu ketika dihubungi Malaysiakini , Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Raja Bahrin Shah Raja Ahmad mengakui pasukan bomba sukarela di Pulau Banggi telah dimansuhkan.

Jelasnya, kerajaan tidak mempunyai peruntukan untuk pembinaan balai bomba buat masa ini.

“Jadi apa yang boleh dibuat untuk masa terdekat ini, adalah untuk mengiktiraf semula pasukan bomba sukarelawan itu dan membina balai (pos) mengikut konsep kategori E.

“Tapi syaratnya mereka kena aktif. Kita tak boleh iktiraf kalau mereka tak aktif,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS