Malaysia hilang kelayakan untuk menganjurkan Kejohanan Renang Dunia Para 2019 susulan kerajaan melarang atlet Israel daripada bertanding.
Keputusan itu dibuat lembaga pengurusan Jawatankuasa Para Antarabangsa yang bermesyuarat di London hari ini.
"Kesemua kejohanan dunia mesti terbuka untuk semua atlet dan negara yang layak untuk bersaing dengan selamat dan bebas daripada diskriminasi," kata Presiden IPC Andrew Parsons dalam satu kenyataan hari ini.
"Apabila negara tuan rumah menyisihkan atlet dari negara tertentu, atas alasan politik, maka kami sama sekali tidak mempunyai pilihan tetapi untuk mencari tuan rumah baru bagi kejohanan ini.
"Pergerakan Paralimpik telah dan senantiasa dimotivasikan keinginan terhadap keterangkuman semua (inklusif), bukannya penyingkiran," tambahnya.
Kejohanan tersebut, suatu pertandingan kelayakan untuk Paralimpik Tokyo 2020, telah dijadualkan berlangsung di Kuching antara 29 Julai dan 4 Ogos 2019.
IPC berkata tempat baru akan dicari pada tarikh yang sama, walaupun mungkin ada kelonggaran berdasarkan keadaan ini.
Sejumlah 600 perenang dari 60 negara dijangka bersaing dalam kejohanan di Sarawak, dengan lebih daripada 160 pingat untuk direbutkan.
Cari tuan rumah pengganti
IPC berkata semua negara yang mahu menjadi tuan rumah pengganti kejohanan diminta untuk menyatakan minatnya pada 11 Februari ini.
Beliau berkata apabila Malaysia dianugerahkan penganjuran kejohanan itu pada 2017, IPC telah diberi jaminan bahawa semua atlet dan negara yang layak akan dibenarkan menjadi peserta.
"Sejak itu, terdapat perubahan kepimpinan politik dan kerajaan Malaysia yang baru mempunyai idea yang berbeza," kata Parsons.
Pada 19 Januari lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bertegas Israel tidak sepatutnya datang ke Malaysia memandangkan negara itu tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Kemudian pada 22 Januari, Dr Mahathir sekali lagi berkata orang yang tidak diingini mestilah dihalang masuk ke dalam negara dan ini termasuk mereka yang disyaki menjadi pengganas dan sebagainya.
"Kita tidak mahu mengadakan sebarang urusan dengan mereka (Israel) termasuk rakyatnya. Jika mereka ingin bertanding dalam sukan mereka boleh pergi ke negara lain.
“Tetapi bagi Malaysia, mereka datang dari sebuah negara penjenayah, kita tidak dapat menerima mereka.
"Setiap negara mempunyai hak menerima atau menolak kedatangan orang lain.
"Kita punya hak itu dan kita mesti kuatkuasakan hak itu,” katanya di Vienna, Austria.
Beliau berkata para atlet ini datang dari sebuah negara yang melakukan apa saja yang mereka suka termasuk membina penempatan di negara orang dan mengusir penduduk dari negara itu sendiri.
"Mereka telah menyerang kapal kita yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza.
“Terlalu banyak perkara lain dilakukan Israel yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan moraliti," jelasnya.