Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuka keahlian partinya hanya kepada orang-orang Sabah yang tinggal di Semenanjung Malaysia sahaja, maklum Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya.
“Bersatu hanya membuka keahlian kepada anak-anak Sabah yang tinggal di Semenanjung sahaja. Buat masa ini kita tidak akan bertapak di Sabah.
“Kami masih hormati rakan-rakan Pakatan Harapan yang berada di Sabah. Kita tidak akan mengambil keahlian dari Sabah, hanya dari semenanjung sahaja,” jelasnya.
Menurut Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebanyak 500 orang menyerahkan borang penyertaan ahli Bersatu dalam majlis hari ini.
“Mereka bukan sahaja dari sini. Dari tempat lain pun ada. Jadi, saya serahkan borangnya ke pusat parti. Mereka akan mengambil keputusan berkenaan keahlian anak-anak Sabah ini,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan borang keahlian anak-anak Sabah di Wakaf Al-Quran, Bandar Country Homes, Rawang.
Turut hadir Ketua Bahagian Bersatu Selayang Zulkifli Mohamad serta penganjur majlis Adzmi KK Juatan, Pengerusi Pertubuhan Kinabalu Bersatu.
Padu bawah satu payung
Dalam pada itu Adzmi berkata penyertaan anak-anak Sabah ke dalam politik antaranya bertujuan menjaga kebajikan mereka.
“Keutamaan kami adalah membawa mereka ke parti Bersatu. Namun, kami juga mengalu-alukan mereka ingin menyertai parti-parti lain dalam PH.
“Selain memberi ilmu politik kepada anak-anak Sabah yang berada di semenanjung, kami juga menjaga kebajikan mereka.
“Buat setakat ini kami berjaya mendaftar 2,500 orang Sabah termasuk 500 yang diserahkan hari ini, lepas ini kami ke Shah Alam dan seterusnya ke Johor," katanya.
Menurut Adzmi lagi, sebanyak 40,000 orang Sabah kini bermastautin di Selangor. Manakala, lebih kurang 20,000 orang lagi menetap di Johor.
“Matlamat kami adalah menyatupadukan mereka ini di bawah satu payung,” jelasnya lagi.