PRK CAMERON | Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengakui berlaku kesilapan berhubung pemasangan papan tanda mengenai projek pembangunan di beberapa perkampungan masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands.
Ketua Pengarah Jakoa, Ajis Sitin dalam satu kenyataan malam ini turut memohon maaf mengenai perkara itu.
"Jakoa ingin menjelaskan bahawa papan tanda projek tersebut merupakan satu kesilapan yang tidak disengajakan.
"Oleh yang demikian, pihak Jakoa telah mengeluarkan arahan serta-merta kepada pihak kontraktor untuk menurunkan papan tanda yang tidak sepatutnya dinaikkan tersebut.
"Pihak Jakoa mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf berkenaan perkara tersebut dan akan memastikan bahawa perkara sedemikian tidak akan berulang di masa hadapan," katanya.
Tinjauan Malaysiakini mendapati, papan tanda berlogo Jakoa dan lambang "Harapan Baru Malaysia" itu didirikan di Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong, Lembah Bertam.
Papan tanda tersebut menyatakan pembangunan itu membabitkan projek "baik pulih rumah" yang bertarikh 18hb Jan sehingga 17 Febr 2019.
Di Kampung Sungai Kabuk pula papan tanda itu menyatakan ia adalah projek "baik pulih tadika", namun tiada tarikh yang dipaparkan.
Beberapa penduduk Kampung Sungai Tiang dan Sungai Chohong memberitahu Malaysiakini, papan tanda tersebut hanya didirikan pada tengah hari tadi oleh beberapa lelaki tidak dikenali.
Terdahulu ketika dihubungi Malaysiakini Ajis mengesahkan papan tanda tersebut didirikan pihaknya.
Bagaimanapun Ajis enggan mengulas apabila ditanya kenapa projek berkenaan dibuat sewaktu kempen PRK berlangsung, dan beliau lalu mematikan talian.
Sementara itu dalam reaksi segeranya kepada Malaysiakini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, berkata pihaknya telah mengarahkan papan tanda tersebut diturunkan.