Emirati Khadem al-Qubaisi, yang didakwa memainkan peranan penting dalam menyalurkan dana 1MDB, mendakwa adalah tidak adil dia dipersalahkan dalam skandal itu.
Dalam wawancara telefon pertama beliau dengan Wall Street Journal (WSJ) di penjara Abu Dhabi, Qubaisi juga mendakwa pihak berkuasa Emiriyah Arab Bersatu (UAE) memaksa beliau untuk memulangkan asetnya.
Bekas pengarah urusan International Petroleum Investment Company (IPIC) itu juga mendakwa dia mengarahkan IPIC menjadi rakan perniagaan utama dengan 1MDB, dengan pengetahuan penuh pegawai UAE yang lebih senior.
Bagaimanapun sekarang Qubaisi mendakwa dijadikan kambing hitam berikutan kehilangan berbilion dolar dari syarikat pelaburan Malaysia itu.
"Saya melakukan perjanjian ini tetapi saya melakukannya bagi pihak kerajaan Abu Dhabi. Sekarang, mereka meletakkan segala-galanya di bahu saya," katanya.
Beliau juga mendakwa walaupun belum disiasat oleh mana-mana badan penguatkuasaan undang-undang mengenai 1MDB, pegawai UAE datang ke penjara Al Wathba di Abu Dhabi di mana dia ditahan untuk menekannya menandatangani penyerahan aset.
Ini termasuk tanah dan vila di UAE kepada Das Holding - sebuah syarikat swasta yang dimiliki oleh bekas bosnya Sheikh Mansour Bin Zayed al Nahyan, timbalan perdana menteri UAE dan ahli keluarga diraja.
"Sekiranya saya melakukan sesuatu yang salah bagi perjanjian Malaysia ini, ok, mereka boleh pergi ambil aset saya, tidak ada masalah. Mengapa sebuah syarikat swasta cuba mengawal aset saya?" dia dilaporkan berkata.
Sheikh Mansour adalah pengerusi Jabatan Kehakiman Abu Dhabi, yang mengawasi semua kes jenayah di UAE.
Qubaisi, yang juga bekas pengerusi anak syarikat IPIC, Aabar Investment, didakwa menerima AS$1.4 bilion yang 1MDB sepatutnya bayar kepada IPIC, menerusi akaun syarikat luar pesisirnya. Dakwaan itu dibuat oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dalam saman sivilnya.
Dana yang diambil itu kemudiannya dibahagikan antara Qubaisi, ahli perniagaan Malaysia yang menjadi buruan, Jho Low dan lain-lain.
Qubaisi mengetuai Aabar pada tahun 2015 dan dipenjara di Abu Dhabi setahun kemudian tanpa sebarang pertuduhan. Dia didakwa selepas kerajaan Switzerland melakukan siasatan ke atas 1MDB.
'Dipaksa serahkan aset'
Dalam wawancara WSJ, Qubaisi juga mendakwa dua anak saudaranya, yang mempunyai kuasa terhadap beberapa asetnya, telah ditahan sehingga mereka menandatangani penyerahan kereta mewah bernilai lebih AS $40 juta kepada Das Holding.
WSJ juga bercakap kepada peguam yang berpangkalan di Abu Dhabi yang terlibat dalam kes Khadem, yang mengatakan Khadem "menyalahgunakan dan melampaui kuasanya" di IPIC untuk mencapai keuntungan peribadi.
"Sekarang dia lebih bimbang untuk menjaga kekayaan haramnya daripada melakukan perkara yang betul dengan mengaku bersalah dan mengembalikan hasil yang diperolehnya daripada kegiatan jenayahnya," kata peguam itu.
Peguam itu juga menolak keterangan Khadem mengenai keadaan penjara dan layanan buruk yang dikatakan sebagai tidak tepat.
Khadem memberitahu WSJ menerusi dua panggilan telefon selama lima minit itu bahawa beliau lebih rela untuk "mati di penjara atau dibebaskan."
Menurut saman DOJ, Qubaisi menggunakan dana bernilai AS$ 471 juta yang dicuri ke akaun peribadinya di Luxembourg untuk membeli hartanah di Amerika Syarikat, antara lain, dan mensasarkan untuk merampas aset tersebut.
Dia tidak didakwa dengan mana-mana tuduhan jenayah sama ada di UAE atau Amerika Syarikat.
WSJ melaporkan bahawa dokumen menunjukkan bahawa pihak berkuasa, bagaimanapun tidak mensasarkan aset yang lebih besar dibiayai dengan wang 1MDB iaitu sebuah kapal layar sepanjang 482 kaki bernilai setengah bilion dolar, yang disebut sebagai Topaz.
Qubaisi didakwa menyalurkan kira-kira AS$ 132 juta yang berasal dari 1MDB untuk pembayaran hutang kapal layar itu antara 2012 dan 2015.
Dokumen juga menunjukkan bahawa baki pinjaman ke atas kapal setinggi lapan tingkat dan mengandungi kolam renang serta pawagam itu, antara lain, telah dibayar sepenuhnya pada bulan April tahun lepas, oleh individu yang tidak dinamakan.