PRK CAMERON l Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin hari ini mengumumkan bahawa projek Empangan Telom di Cameron Highlands tidak akan diteruskan.
Bercakap semasa kempen Pakatan Harapan (PH) di Pos Lanai hari ini, beliau berkata kementeriannya membuat keputusan itu pada Oktober tahun lalu.
“Pada 30 Oktober, kita sudah ada satu mesyuarat [...] Dalam mesyuarat itu kita sudah putuskan Empangan Telom tidak dimasukkan dalam perancangan. Maksudnya kerajaan tidak akan membina empangan ini.
“Ini bukan kerana PRK sudah sampai, saya pun tidak tahu empangan ini di Cameron Highlands,”kata Yeo yang disambut tepukan gemuruh daripada kira 200 hadirin di perkampungan Orang Asli itu.
“Kita buat (keputusan) ini kerana perancangan (kita) memang tak perlu (empangan ini). Apabila ia tidak diperlukan kita tak perlu bazir dana,” katanya.
Pos Lanai yang sejak sekian lama menjadi kubu BN akan paling terjejas sekiranya empangan itu dibina.
Mengikut perancangan, empangan itu bakal menghasilkan menghasilkan 132 megawat (MW) elektrik tetapi dibimbangi akan memusnahkan hutan seluas 7,600 hektar serta ekosistemnya yang menjadi sumber pendapatan masyarakat Orang Asli sejak sekian lama.