GLOBAL | Perdana Menteri Mahathir Mohamad mempertahankan sekatan Malaysia terhadap atlet Israel dengan menyamakan dengan pembinaan tembok di sempadan Amerika Syarikat-Mexico oleh pentadbiran Donald Trump.
Mahathir berkata sesebuah negara mempunyai hak menyekat kemasukan mana-mana pihak, lapor AFP.
“Kamu lihat di Amerika sekarang mereka bina tembok yang sangat tinggi untuk mengelakkan orang Mexico masuk ke Amerika.
“Kami ada idea yang sama, pihak yang tidak dikehendaki di negara kami tidak akan dibenarkan masuk,” kata Mahathir dalam sidang media di Vienna, Austria pada Selasa.
Kenyataan itu dibuat tidak lama selepas Canselor Republik Austria Sebastian Kurz menggasak Malaysia dalam isu sama dengan menyifatkan sekatan Malaysia bersifat antisemitisme yang tidak boleh diterima sama sekali.
Dr Mahathir kini dalam lawatan kerja selama tiga hari ke Austria untuk menghadiri dua forum antirasuah.
Mahathir pada 10 Januari lalu menegaskan Putrajaya tetap dengan pendirian tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak antara 29 Julai hingga 4 Ogos depan.
Bagaimanapun ketika langkah itu dikritik pemimpin Barat, ia diraikan penduduk Gaza yang mengibarkan Jalur Gemilang di sebuah stadiumnya sebagai tanda terima kasih atas setiakawan Malaysia.