Susulan kenyataan tegas berhubung larangan untuk atlet renang paralimpik Israel masuk Malaysia, nama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengisi tajuk-tajuk berita dalam dan luar negara.
Media Indonesia tidak ketinggalan melaporkan berhubung kenyataan yang dibuat Dr Mahathir selepas perbincangan Oxford Union 19 Jan lalu itu.
Antara media Indonesia yang melaporkan kenyataan itu ialah CNN Indonesia, Tempo, dan Jakarta Post. Laporan itu juga mengisi ruangan laman media sosial Indonesia.
Susulan itu, sejumlah pengguna media sosial negara itu dilihat memberi sokongan kepada Dr Mahathir dan menyatakan harapan mendapat presiden seperti Mahathir.
"Hadiahkan Indonesia pemimpin (presiden) yang seperti ini ya Rabb. Amiin," kata salah seorang pengguna media sosial di Facebook dalam satu klip video yang melaporkan tentang kenyataan Dr Mahathir.
Klip video berkenaan turut dikongsi Facebook penyokong Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir.
Turut berkongsi harapan serupa ialah pengguna Twitter @AbbasNasiruddin.
"Bagus juga kalau punya Presiden seperti beliau ini," katanya.
Akaun Twitter @heldybusrie pula menyifatkan Dr Mahathir sebagai pemimpin yang tidak mendengar arahan daripada orang lain.
Sementara itu, beberapa pengguna media sosial Indonesia turut mempopularkan semula istilah 'Little Soekarno' yang pernah digunakan untuk merujuk Dr Mahathir.
Istilah berkenaan dikatakan dipopularkan oleh media luar suatu ketika dulu sebagai merujuk kelantangan Mahathir yang dibanding-bandingkan dengan presiden pertama Indonesia, Soekarno.
Rakyat Indonesia akan mengundi pada 17 April ini bagi memilih 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), 136 anggota Dewan Perwakilan Daerah (DPD), serta anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah bagi penggal 2019–2024.
Terdahulu, pada perbincangan Oxford Union, hujung minggu lalu, Dr Mahathir menekankan bahawa atlet Israel tidak sepatutnya datang ke Malaysia kerana kedua-dua pihak tidak mempunyai hubungan diplomatik.
Ketika diasak secara terbuka oleh Presiden Oxford Union, Daniel Wilkinson, Mahathir berkata, Malaysia mempunyai hak untuk menutup sempadannya terutama terhadap pihak yang dirasakan "banyak melakukan kesalahan".
Larangan Malaysia itu turut mengundang bantahan Jawatankuasa Olimpik Israel yang memberi tekanan berterusan kepada penganjur agar atlet mereka diberikan visa.
Atlet Israel yang dikenakan larangan itu adalah atlet renang bagi Kejohanan Renang Para Dunia yang akan diadakan di Sarawak pada Julai ini.