WAWANCARA | Kerajaan perlu mengkaji cadangan pemansuhan hukuman mati khususnya Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, kata pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Malaya Prof Madya Dr Azmi Sharom.
Azmi juga bersetuju dengan tanggapan bahawa undang-undang anti dadah yang keras di Malaysia masih gagal membendung kegiatan pengedaran dan penagihan dadah.
“Falsafah undang-undang (Akta Dadah Berbahaya 1952) itu sendiri sebagai sesuatu yang digunakan untuk deter orang daripada menjual dadah dan sebagainya memang tidak berguna dan tidak berkesan
“Jadi kita mesti melihat sekali lagi undang-undang kita ini,” katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Dr Azmi mendakwa lazimnya hukuman mati dikenakan bukan terhadap ketua sindiket dadah, sebaliknya individu yang dipergunakan sebagai ‘keldai dadah’.
“Lazimnya yang dihukum mati itu bukan orang yang mengetuai sindiket-sindiket dadah ini. Yang mati itu orang yang membawa ('keldai') dadah ini.
“Di dunia ini akan selalu ada orang yang terdesak, orang yang mungkin bodoh, atau ada orang yang mungkin akalnya tidak begitu elok dan boleh dipergunakan sebagai keldai dadah,” katanya.
Tujuan undang-undang
Tambah Azmi, menghukum keldai dadah dengan hukuman mati tidak akan menghentikan pengedaran dadah.
“Kita membunuh orang-orang yang macam ini, apa guna? Kegiatan pengedaran dadah masih diteruskan lagi.
“Kalau ada 100 orang (keldai dadah) dihukum mati sekarang, minggu depan ada 100 lagi, kita nak bunuh semua?
“Jadi kita kena fikirlah apakah tujuan undang-undang ini,” jelasnya.
Perbincangan mengenai hukuman mati terhadap kesalahan mengedar dadah menjadi perbahasan awam susulan beberapa kes melibatkan tertuduh mendakwa menggunakan ganja yang dikategorikan sebagai dadah untuk tujuan perubatan.
Misalnya, kes pesara tentera Amiruddin @ Nadarajan Abdullah yang sedang berhadapan dakwaan mengedar ganja di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan perbicaraannya kini dibawa ke Mahkamah Tinggi.
Satu lagi kes yang menjadi tumpuan ialah kes yang melibatkan Muhammad Lukman Mohamad yang dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Ogos lalu.
Lukman, 29, ditahan pada Disember 2015 kerana memiliki 3.1 liter minyak ganja, 279 gram ganja mampat dan 1.4 kilogram bahan yang mengandungi tetrahydrocannabinol (THC atau bahan aktif dalam ganja).
Peguamnya Farhan Maaruf dilaporkan berkata Lukman tidak berniat untuk mengedar dadah, tetapi hanya mahu membantu pesakit yang dapat dirawat dengan THC.
Petisyen dalam talian di change.org yang menggesa pembebasan Lukman setakat berita ini ditulis mendapat 70,568 tandatangan.
Berhubung kes Lukman, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 18 September 2018 berpendapat kerajaan patut menyemak semula kes tersebut.
Semak semula definisi
Pandangan Mahathir itu senada dengan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang menulis rayuan kepada Peguam Negara Thommy Thomas bagi mendapatkan pengampunan berdasarkan merit kes itu.
Nurul berhujah, ganja semakin diterima di banyak negara sebagai tumbuhan yang mempunyai banyak faedah, terutamanya dalam rawatan pelbagai penyakit kronik.
Beliau juga berpendapat sudah tiba masanya untuk menyemak semula definisi apa yang membezakan seseorang individu, pengedar, penagih atau pesakit yang memerlukan ganja untuk rawatan.
Setakat Oktober 2018, kira-kira 72 peratus banduan yang menunggu hukuman mati terdiri daripada sabitan kesalahan dadah, maklum Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong pada Oktober lalu.
Seramai 932 orang bakal dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, manakala 317 melibatkan kes bunuh, 13 orang memiliki senjata api, lima kes culik, sembilan orang kerana melancarkan perang terhadap Yang Di-Pertuan Agong, dua orang lagi terlibat dalam kes rompak dan bunuh.
Liew dalam tulisannya yang terbit di media tempatan pada 23 Oktober 2018 mendedahkan selepas kemenangan PH dalam PRU14, beliau mendapat akses terhadap kertas mesyuarat kabinet mengenai hukuman mati.
“Ketika mesyuarat kabinet pada 2 November 2012, kerajaan telah pun memutuskan untuk menggantung pelaksanaan hukuman mati terhadap pesalah di bawah Akta Dadah Berbahaya.
“Keputusan yang sama dibuat pada 2013; manakala pada November 2017, parlimen meluluskan Rang Undang-undang (RUU) pemansuhan hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39 B (Akta Dadah Berbahaya 1952),” tulis Liew.
Dengan pemansuhan hukuman mandatori, hakim mempunyai kuasa untuk mengikut budi bicara dalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati atau hukuman penjara minimum 30 tahun.
Tetapi keputusan itu tidak termasuk banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati (sebelum RUU itu diluluskan) dan sedang dalam penantian ke tali gantung, jelasnya lagi.
Bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor pada 15 Januari 2019 mengkritik keputusan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan hukuman mati, menyifatkannya sebagai terburu-buru.
Kemudian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong pada 18 Januari 2019 berkata kerajaan masih belum memuktamadkan keputusan berkaitan penghapusan hukuman mati kerana masih dalam proses kajian selain menunggu maklum balas daripada beberapa kementerian dan agensi sebelum cadangan itu dibentangkan di parlimen.
Pada 29 Disember lalu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pula menegaskan polis tidak bersetuju dengan ganja perubatan seperti yang dilaksanakan negara jiran, Thailand.
Mohamad Fuzi berkata, pihaknya sudah membincangkan perkara itu secara terperinci dengan kerajaan dan ia tidak akan dibenarkan.
"Polis sudah kemukakan pandangan dan kita tak setuju (dengan langkah tersebut) kerana ia hanya akan merumitkan lagi masalah penagihan dadah di negara ini," katanya lagi.
Berikut petikan wawancara Malaysiakini bersama Dr Azmi Sharom:
Bagaimana Dr Azmi melihat isu reformasi undang-undang dadah di Malaysia?
Jadi mana-mana undang-undang pun boleh ditukar, boleh dipinda.
Jadi isu yang hangat mengenai undang-undang dadah adalah tentang penggunaan marijuana sebagai perubatan.
Dan ini telah diterima pakai di merata-rata tempat. Di banyak negara penggunaan marijuana itu pun tak salah lagi lah.
Jadi di Malaysia, kalau kita nak ada satu sistem di mana ganja diregulasikan dan bukan satu lagi jenayah, saya rasa, mungkin mustahillah.
Sebab dadah ini di Malaysia, ramai orang rasa dadah ini macam jahat sangatlah.
Tetapi apa jenayah menagih dadah atau apa jenayah memasukkan suatu bahan terlarang ke dalam tubuh yang boleh memudaratkan kesihatan itu? Jadi ia boleh jadi apa-apa bahan, seperti rokok?
Jangan cakap rokok, gula pun memudaratkan. Tapi kita tidak mengharamkan gula kan. Tapi kalau gula ini pun kalau kita makan banyak sangat, ada risiko penyakit diabetis, obesiti.
Saya rasa banyak masalah di hospital berasaskan diet yang tidak elok, bukannya dadah. Kebanyakan masalah kesihatan di Malaysia ini kerana apa yang kita makan secara halal.
Tetapi kita tidak boleh menolak dadah ini juga boleh membawa kepada isu kesihatan, sosial?
Ya, tetapi kita mesti open minded (berfikiran terbukan) sedikit, terutama sekali dari segi penggunaan ganja dalam perubatan.
Sebab banyak ubat-ubat yang kita guna dalam perubatan ini pun, kalau kita di luar (tanpa preskripsi doktor) itu salah. Misalnya morfin.
Tetapi di dalam hospital dengan cara yang teliti dan secara ada supervision (pemantauan) pakar dan sebagainya, ia boleh digunakan.
Kalau ganja, sebagai ubat ia tidak pernah digunakan, berbanding dadah lain?
Kenapa tidak? Jikalau terdapat bukti atau di mana suatu dadah itu dapat membantu seseorang yang sakit teruk, kesakitan yang teruk, kenapa kita nak menghalang?
Kita membantu seseorang itu, ubat-ubat yang ada, contohnya kodein dalam kandungan bat batuk itu berasaskan ekstrak candu bunga popi. Boleh digunakan tapi digunakan secara betul lah untuk mengurangkan kesakitan. Ini memang digunakan.
Tetapi kalau kodein ini di jual di tepi-tepi jalan itu salah dari segi undang-undang
Jadi kenapa kita tidak boleh menggunakan marijuana untuk tujuan-tujuan sebegini.
Baru-baru ini Thailand luluskan ketum dan ganja sebagai perubatan, komen Azmi?
Kita mestilah berminda terbuka sedikit mengenai masalah dadah di Malaysia ini. Kalau kita ingat lagi dadah ini sejak tahun 1980 an lagi tidak dipanggil dadah tetapi "najis dadah".
Jadi ia suatu perkara yang jika seseorang itu hisap dadah ia jadi sangat teruk. Jadi imej yang ada di dalam kepala orang Malaysia, dadah ini semacam jenis syaitan lah.
Di sebalik perang dadah sejak penghujung 1970an hingga kini ia gagal mengatasi masalah pengedaran dan penagihan dadah yang terus berlaku?
Maksudnya undang-undang itu tidak berkesanlah. Kenapa undang-undang dadah kita begitu tegas, begitu keras, satu daripada tujannya adalah untuk menentukan bahawa orang tidak mahu melakukan perkara-perkata tersebut, suatu deterrence.
Tidak menggalakkan orang daripada melakukan sesuatu jenayah itu.
Tetapi kita lihat ia masih berterusan, walau pun ada undang-undang yang begitu keras, isu dadah masih ada, jadi maksudnya apa?
Falsafah undang-undang itu sendiri sebagai sesuatu yang digunakan untuk mencegah orang daripada menjual dadah dan sebagainya memang tidak berguna dan tidak berkesan
Jadi kita mesti melihat sekali lagi undang-undang kita ini.
Berita berkaitan:
Ganja perubatan: Undang-undang boleh dipinda, kata pensyarah