Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sungai Bertam tercemar, 500 Orang Asli Pos Menson mohon kepedulian
Diterbitkan:  Jan 18, 2019 2:54 PM
Dikemaskini: 6:54 AM


Air sungai sememangnya nadi utama buat masyarakat Orang Asli. Namun hampir 500 komuniti Orang Asli di Pos Menson, kira-kira 40 kilometer dari Tanah Rata tidak lagi menghiraukan Sungai Bertam yang mengalir di tepi kampung mereka.

Kualiti air sungai itu terjejas kerana tercemar dipercayai berpunca daripada aktiviti pertanian komersil di kawasan berhampiran perkampungan itu sejak lebih 25 tahun.

Lebih teruk, setiap kali musim hujan, air yang mengalir dari kawasan tanah tinggi itu membawa bersama lumpur dan sampah pertanian sehingga menyebabkan sungai itu cetek, kotor serta berwarna seakan teh tarik.

Air kekuningan itu juga dipercayai mengandungi bahan kimia kesan daripada penggunaan racun berjadual dan baja kimia di kawasan pertanian seperti di Ringlet serta Lembah Bertam di Tanah Tinggi Cameron Highlands.

Keadaan itu memberi kesan secara langsung kepada masyarakat Orang Asli di kawasan lain, terutama yang berdekatan dengan Jalan Ringlet-Sungai Koyan yang bergantung hidup pada sungai.

Tinjauan Bernama ke petempatan Orang Asli Pos Menson mendapati rata-ratanya mendakwa kehidupan dan rezeki mereka kini semakin sukar terutama untuk menangkap ikan apabila hampir semua spesies ikan di sungai itu semakin pupus.

Tok Batin Orang Asli Pos Menson, Rahim Arkom, 58, berkata Sungai Bertam yang menjadi kegunaan utama penduduk lima perkampungan di situ semakin meruncing sekitar 2000 berikutan pembukaan tanah hutan berdekatan kawasan itu untuk kegiatan pertanian komersil yang tidak terkawal.

“Air sungai menjadi kuning, berselut dan berlumpur sehinggakan hampir tiada lagi hidupan air seperti ikan tengas, krai, sebarau di sungai itu. Sekarang kalau nak makan ikan sungai kami kena pancing di pasar sajalah,” katanya.

Rahim berkata, bukan sahaja hidupan air yang hampir tiada malah haiwan liar antaranya pelanduk, landak dan kijang yang semakin payah ditemui dan perlu masuk jauh ke dalam hutan.

Akibat sumber air yang didakwa tercemar oleh racun kegiatan pertanian, Tok Batin yang baru dua tahun mengambil alih itu berkata seorang penduduk kampung mengalami keguguran rambut setelah mandi sungai tercemar itu dan telah mendapatkan rawatan dalam kejadian pada 2006.

“Lepas terjadi kes itu, budak-budak kampung ni sekarang dah kurang mandi, lagipun kami telah beritahu jangan mandi kerana kotor dan banyak racun,” katanya yang pernah membawa permasalahan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) namun tiada maklum balas dan tindakan.

Bagi Mat Bah Dengkil, 53, dari Kampung Rantau berkata oleh kerana risau mengundang komplikasi kesihatan, mereka semua tidak lagi menggunakan air sungai itu sebaliknya menggunakan sistem air graviti dari satu anak sungai iaitu Sungai Kelok.

“Saya tidak ingat bila kali terakhir mandi dan menjala di situ (Sungai Bertam). Dulu (sungai) sebelum zaman 90-an memang bersih tapi sekarang saya takkan benarkan cucu saya mandi sungai itu. Biarlah mereka mandi buka paip di rumah, selamat,” katanya yang mempunyai 12 anak dan 25 cucu.

Rosnah Isam, 51, dari Kampung Gelnas berharap calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands akan membawa isu itu ke Dewan Rakyat bagi mengawal pembukaan tanah pertanian haram yang menyukarkan usaha membersihkan sungai.

Terdapat lima buah kampung dalam Pos Menson iaitu Kampung Panggak, Kampung Rantau, Kampung Gelnas, Kampung Batu Kusir dan Kampung Berengis.

Masyarakat Orang Asli mewakili 22 peratus daripada seramai 32,048 pengundi keseluruhan di Parlimen Cameron Highlands manakala pengundi Melayu 34 peratus, Cina 30 peratus dan India 14 peratus.

PRK Cameron Highlands pada 26 Jan ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan, M. Manogaran, Calon BN diwakili Ramli Mohd Nor manakala dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

-- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS