Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan siapkan kertas putih pulih Felda
Diterbitkan:  Jan 17, 2019 6:28 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) menggariskan beberapa keutamaan untuk 2019, termasuk penyiapan kertas putih mengenai rancangan pemulihan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata ia juga memastikan bahawa komitmen kerajaan kepada peneroka Felda, dipenuhi dengan terus memberikan bantuan elaun sara hidup kepada mereka.

Usaha lain yang dilaksanakan oleh kementerian termasuk penglibatannya bersama Kementerian Kewangan, dalam pelan pemulihan Lembaga Tabung Haji untuk membangunkan semula institusi ikonik terbabit.

"Di samping itu, kami mula menilai kedudukan Bank Pembangunan Malaysia Bhd dan menangani cabaran dalaman institusi itu.

"Kami juga mula menyiapkan rangka kerja pembangunan pasca 2020 untuk menyediakan arah tuju pembangunan sosioekonomi negara dalam jangka panjang, serta mengkaji proses dan mekanisme perancangan sedia ada untuk menambah baik perancangan pembangunan Malaysia," katanya.

MEA berkata ia akan meneraju beberapa kajian sosioekonomi mengenai cabaran masa depan, termasuk menjalankan kajian revolusi perindustrian keempat dalam menyediakan negara untuk menghadapi impak teknologi masa depan yang dijangka mengubah gaya hidup rakyat.

MEA yang dibentuk pada 12 Mei 2018, mengambil peranan dan fungsi agensi pusat, yang sebelum ini dipegang oleh Unit Perancang Ekonomi, di Jabatan Perdana Menteri.

Fungsinya dalam melaksanakan dan mengawasi dasar, disokong oleh 32 agensi, termasuk semua 13 perusahaan pembangunan ekonomi negeri.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS