Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penagihan dadah isu kesihatan, bukan jenayah - Menteri
Diterbitkan:  Jan 17, 2019 5:36 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Masalah penagihan dadah perlu dilihat dari sudut kesihatan sosial dan bukan ditangani melalui sistem pengadilan jenayah, kata Menteri Undang-undang Liew Vui Keong.

Liew berkata sektor kesihatan perlu dibenarkan menyelia masalah ketagihan.

"Penggunaan dadah haruslah lebih dilihat melalui sudut kesihatan sosial dan diselia melalui sektor kesihatan dan bukanlah ditangani melalui sistem pengadilan jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKDM) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Agensi Anti Dadah Kebangsaaan (AADK).

Justeru itu, menteri menggesa kerajaan untuk mengkaji semula beberapa seksyen dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 dan penguatkuasaan perlu menumpukan pada masalah bekalan dadah serta tidak menghukum penagih.

"Beberapa seksyen dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 perlu dikaji semula untuk membetulkan pendekatan hukuman sedia (ada).

"Sebaliknya penguatkuasaan haruslah lebih tertumpu kepada aktiviti penyeludupan bekalan dadah dan bukannya menumpukan kepada menghukum terhadap pengguna bahan berkenaan semata-mata," kata Liew.

Menjelaskan lanjut, Liew berkata penggunaan dadah dan ketagihan merupakan satu kesan biologi yang rumit dan melibatkan perlbagai faktor seperti kecenderungan genetik, faktor psikologi dan pengaruh persekitaran.

Menurutnya tumpuan terhadap sudut penguatkuasaan undang-undang semata-mata bukan sahaja kurang berkesan tetapi memburukan lagi tahap kesihatan individu terbabit.

"Dominasi pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang dalam menentang penggunaan dadah secara haram sahaja kurang berkesan, malah telah memburukkan lagi tahap kesihatan individu terbabit selain turut melibatkan perbelanjaan wang yang amat besar oleh kerajaan.

"Ini dapat dilihat pada kadar yang sudah keluar kembali kepada tabiat asal," katanya.

Pengarah Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia Nordin Muhamad pada 12 Januari lalu berkata pihaknya yakin sistem rawatan dan pengawasan dalam komuniti lebih berkesan menangani gejala dadah berbanding hukuman penjara yang menyaksikan ramai dihukum akibat kesalahan berulang.

Nordin berkata penjara kini sesak dengan pesalah yang menjalani hukuman penjara berkaitan kesalahan dadah dan ia memakan kos yang tinggi.

"Belanja sehari untuk seorang penghuni adalah sebanyak RM41 seorang. (Sedangan) sebahagian besar sebenarnya hanya perlu diletakkan bawah pengawasan saja," katanya.

Kapasiti rasmi penjara di Malaysia dapat menampung seramai 45,640 penghuni pada September 2016, namun penghuninya dalam tempoh yang sama berjumlah 55,490 orang, menurut data Jabatan Penjara Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS