Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Restoran Pelita seluruh negara hentikan jualan rokok
Diterbitkan:  Jan 17, 2019 12:55 PM
Dikemaskini: 4:55 AM

Pemilik restoran nasi kandar Pelita, antara restoran nasi kandar paling popular di Malaysia, Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Pelita), telah menghentikan penjualan rokok di semua kaunter rangkaian restorannya di seluruh negara bermula semalam.

Pengarah Eksekutif Pelita, Datuk KK Sihabutheen berkata sepatutnya pemberhentian penjualan rokok di 28 buah cawangan restoran nasi kandar itu dibuat bermula pertengahan tahun depan berikutan pihaknya masih mempunyai kontrak bersama pihak pembekal rokok.

"Walau bagaimanapun, menerusi satu perbincangan mereka (pembekal rokok) bersetuju menamatkan kontrak membekal rokok di restoran nasi kandar Pelita bermula semalam.

“Kami yakin langkah ini akan disokong pelanggan kerana kebanyakan mereka mahu satu kawasan bebas daripada asap rokok. Lagipun tidak guna menjual rokok kalau menghisap rokok tidak dibenarkan dalam restoran," katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin yang turut hadir dalam sidang akhbar itu turut merakamkan penghargaan kepada rangkaian restoran itu atas inisiatif itu.

Sihabutheen berkata tindakan menghentikan penjualan rokok itu adalah bagi menyokong hasrat kerajaan yang menguatkuasakan larangan merokok di restoran dan kedai makan mulai awal tahun ini.

"(Hasil) jualan rokok setiap bulan adalah kira-kira RM300,000, namun saya percaya ia (kemerosotan hasil ekoran pemberhentian jualan rokok) dapat diatasi dengan jualan makanan," katanya.

Sementara itu, Sihabutheen berkata pihaknya yakin pelanggan restoran itu tidak mudah terpedaya dengan kiriman WhatApps tular baru-baru ini berhubung status premis itu yang kononnya tidak halal.

Menurutnya rangkaian restoran itu kini berdepan dengan fitnah sedemikian dan beliau menegaskan bahawa kesemua 30 rangkaian restoran nasi kandar Pelita mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak 2012.

“Untuk mendapatkan sijil halal daripada JAKIM ini bukanlah mudah. Kami terpaksa melalui pelbagai prosedur dan kriteria yang ketat sebelum memperoleh perakuan halal dari JAKIM,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS