Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS dakwa pemaju 'bangunan salib' sebar Kristian
Diterbitkan:  Jan 16, 2019 4:44 PM
Dikemaskini: 2:26 PM

PAS mendakwa pemaju bangunan kediaman di Pulau Pinang yang didakwa memaparkan cahaya lampu berlambangkan salib pada waktu malam terlibat dalam kegiatan agenda Kristianisasi.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata salah seorang pengasas Nova Mulia Development Sdn Bhd yang tidak dinamakannya terlibat dalam kumpulan perniagaan Kristian yang berpengkalan di Amerika Syarikat.

"Tambahan pula, pengasas dan pengarah urusan pemaju projek berkenaan ialah seorang yang aktif terlibat dengan Nehemiah Project (Biblical Entrepreneurship) dan giat mempromosikan agenda kristianisasi," dakwa Nasrudin.

Pemimpin PAS itu merujuk kepada Annie Choo yang dinamakan Projek Nehemiah sebagai "rookie of the year" bagi tahun 2015, menurut suatu hantaran Facebook syarikat itu. Halaman Facebook itu tidak lagi dapat diakses petang tadi.

Bangunan yang dimaksudkan, Grace Residences, merupakan kondominium setinggi 44 tingkat di Jelutong yang masih belum siap lagi.

Baru-baru ini, gambar bangunan berkenaan tular di media sosial kerana pencahayaan dari bangunan itu memaparkan lambang salib.

Pihak yang berang dengan perkara itu sudah membuat laporan polis.

Projek Nehemiah

Sementara itu, mengenai Projek Nehemiah, Nasrudin merujuk kepada Nehemiah Project International Ministries (NPIM), yang beribu pejabat di Oregon.

Pada laman webnya, NPIM menyatakan ia merupakan organisasi perniagaan dan sokongan melalui latihan keusahawanan berdasarkan ajaran Bible, latihan dan akses modal.

"(Misi kami untuk) mentransformasikan pasaran dengan prinsip Lord Jesus Christ, seorang usahawan pada suatu masa," kata NPIM.

Malaysiakini masih belum menerima maklum balas daripada Nova Mulia mengenai dakwaan Nasrudin ini.


BACA: Isu bangunan salib: Mujahid lemah pertahan Islam, dakwa PAS


Terdahulu, jurucakap Nova Mulia Development Sdn Bhd pada 14 Januari menjelaskan oleh kerana gambar diambil ketika bangunan itu masih belum siap sepenuhnya, ia kebetulan kelihatan seperti salib.

“Mungkin bila gambar diambil, cahayanya menunjukkan salib. Tetapi cahaya itu sepatutnya bukan untuk menunjukkan salib,” katanya yang menjelaskan bangunan Grace Residence di Jelutong, Pulau Pinang sepatutnya menunjukkan abjad Cina (王) bermaksud wang (raja) atau ong (nasib baik)," kata pemaju.

Pada hari yang sama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menjelaskan bangunan yang menjadi kontroversi di media sosial itu sudah tidak lagi memaparkan cahaya berbentuk salib.

Susulan itu, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor menggesak pihak berkuasa tempatan menyelesaikan isu berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS