Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
K'jaan terburu-buru nak mansuh hukuman mati - Bekas IGP

Bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor mengkritik keputusan pentadbiran Pakatan Harapan untuk memansuhkan hukuman mati sebagai terburu-buru.

Abdul Rahim berkata kerajaan perlu menjalankan kajian terperinci dan mendapatkan pandangan orang ramai mengenai hal ini sebelum membuat keputusan.

"Di antara 60 peratus dan 80 peratus orang ramai di luar sana yang berkata hukuman mati perlu dikekalkan," kata Abdul Rahim pada sidang akhbar di Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.

Pada Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong mengumumkan Rang Undang-Undang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang berikutnya.

Menurut laman web parlimen, sidang Dewan Rakyat selanjutnya dijadualkan berlangsung dari 11 Mac sehingga 11 April tahun ini.

Abdul Rahim berkata Dewan Rakyat perlu mempertimbangkan suara rakyat dan mengekalkan hukuman mati.

"Ia tidak mudah. Barangkali, mudah-mudahan kabinet akan mengubah keputusan awalnya dan mengekalkan hukuman mati," katanya.

Apa jadi pada keluarga mangsa

Menurut Abdul Rahim, sementara beberapa pihak, termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati, perhatian terhadap keluarga mangsa bunuh kurang diambil berat.

"Ia tak seimbang. Suhakam, Majlis Peguam, NGO seperti Lawyers For Liberty menyokong pemansuhan hukuman mati.

"Apa yang terjadi dengan sokongan kepada keluarga mangsa bunuh? Tiadakah keprihatinan terhadap mereka sebagaimana pihak-pihak lain yang menunjukkan perhatian untuk memansuhkan hukuman mati?

"Jika tiada hukuman mati, maka keluarga ini hanya mampu menangis," katanya.

Abdul Rahim menjelaskan negara maju seperti Rusia, China dan Jepun mengekalkan hukuman mati kerana mereka melihat hukuman tersebut berkesan untuk mencegah jenayah.

"Sementara negara-negara yang memansuhkan hukuman mati melihat kadar jenayah meningkat," katanya tanpa menjelaskan secara lanjut dakwaan ini.

Untuk rekod, di Amerika Syarikat, kadar jenayah pembunuhan di negeri yang tiada hukuman mati lebih rendah berbanding negeri yang melaksanakannya.

Bunuh dibalas bunuh

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Razali Ismail pada November lalu berkata mengekalkan hukuman mati bukanlah penawar terhadap "ketidakadilan peribadi" yang berakibat daripada jenayah pembunuhan.

"Saya fikir dunia menerima pemansuhan hukuman mati dan kami bersama pendirian itu.

"Pasti akan selalu berlaku ketidakadilan peribadi tetapi kami tidak boleh terus dengan prinsip 'bunuh dibalas bunuh' itu," kata Razali ketika diminta mengulas kemarahan awam mengenai laporan seorang bayi berumur sembilan bulan maut selepas dirogol dan didera oleh suami penjaganya.

MP Gelugor Ramkarpal Singh berkata beliau selalu menyokong pemansuhan hukuman mati, namun kes sebegini membangkitkan keperluan budi bicara mahkamah mengenakan hukuman mati terhadap "kes jenayah yang cukup kejam itu."

Ramkarpal menggesa kerajaan mengekalkan hukuman mati bagi "kes-kes tertentu."

Menurutnya, kes ini termasuklah pembunuhan kejam terbaru melibatkan kes rogol dan bunuh bayi berusia sembilan bulan serta satu lagi kes dera kanak-kanak melibatkan mangsa yang berusia tiga tahun, dengan syarat bukti dan keterangan melampaui keraguan yang munasabah.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia (AIM) Shamini Darshni bersetuju dengan pendirian pengerusi Suhakam, berkata hukuman mati tidak akan mencegah jenayah daripada berlaku.

"Kami tidak sama sekali memperkecilkan apa (tragedi) yang terjadi. Tetapi apa yang ingin kami katakan hukuman mati tidak memberi kesan pencegahan jenayah," kata Shamini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS