Pihak pendakwaan telah menarik balik rayuan agar dikenakan hukuman lebih berat ke atas pereka grafik Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin kerana memuat naik imej karikatur menghina bekas perdana menteri Najib Tun Razak di akaun facebooknya pada 2016.
Timbalan pendakwa raya Zaki Asyraf Zubir memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa pihak pendakwaan telah memfail notis pemberhentian rayuannya pada 28 Disember tahun lepas, dan dengan itu memohon rayuan itu dibatalkan.
Peguam Louis Liaw yang mewakili Mohd Fahmi Reza tidak membantah penarikan balik rayuan itu.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki yang mempengerusikan panel bersama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berikutan itu membatalkan rayuat tersebut.
Pihak pendakwaan sebelum ini memfail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 12 Nov, 2018 yang mengetepikan hukuman penjara selama sebulan ke atas Mohd Fahmi Reza dan mengurangkan dendanya dari RM30,000 ke RM10,000 selepas membenarkan rayuannya terhadap hukuman itu.
Didakwa salah guna kemudahan komunikasi
Mahkamah Tinggi di Ipoh, bagaimanapun mengekalkan sabitannya atas tuduhan mengirim karikaktur tersebut, yang menampilkan Najib sebagai seorang badut bersama logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 8 Februari, 2016.
Mohd Fahmi Reza didakwa menyalah guna kemudahan rangkaian fasiliti dengan mereka komunikasi bersifat menghina dengan niat mengganggu orang lain menerusi akuan Facebooknya, "Fahmi Reza".
Kiriman itu dikatakan dibaca di alamat, Seraya Sdn Bhd, Batu 3, Jalan Jelapang di sini pada 2.40 petang hari yang sama.
Pada 20 Februari tahun lepas, Mahkamah Sesyen Ipoh menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM30,000 ke atas Mohd Fahmi Reza selepas mendapatinya bersalah atas tuduhan itu.
Selepas prosiding itu, Liaw memberitahu pemberita rayuan Mohd Fahmi Reza terhadap sabitannya masih berjalan dan Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh pendengaran.
Mohd Fahmi Reza hadir di mahkamah.
- Bernama