Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK Cameron Highlands: Gambar wanita berbaju PH agih wang tersebar
Diterbitkan:  Jan 13, 2019 1:58 PM
Dikemaskini: 11:49 AM

PRK CAMERON HIGHLANDS | Beberapa pemimpin politik pembangkang mengulas di Twitter berhubung gambar yang memaparkan seolah-olah jentera kempen Pakatan Harapan (PH) Cameron Highlands sedang mengagihkan wang.

Gambar yang dimaksudkan itu memaparkan seorang wanita berbaju PH Cameron Highlands mengagihkan wang kepada beberapa individu yang turut memakai baju sama.

Salah seorang pemimpin pembangkang yang mengirim ciapan berserta gambar itu adalah Anggota Parlimen Umno Kinabatangan Bung Moktar Radin.

Bung Moktar turut memberi gambaran bahawa "pemberian wang" akan lebih berleluasa pada hari mengundi.

"Ini bukan politik wang, kakak ni cuma bagi duit minum, tunggulah kat pembuangan undi baru bagi wang besar lagi.

"Sekarang ni pancing dulu mood orang muda, kalau boleh tipu lagi baru masuk gear 4," katanya.

Selain itu, Naib Presiden MIC dan bekas penyandang kerusi Cameron Highlands, C Sivarraajh turut mengulas gambar berkenaan.

“Ini tak apa sebab mereka kerajaan persekutuan.

"Kalau kita bagi kenduri untuk jentera pun salah besar sampai lima tahun tak boleh mengundi," katanya.

Kemenangan Sivarraajh di kerusi Cameron Highlands pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 sebelum ini dibatalkan selepas Mahkamah Pilihan Raya mendapati berlaku pembelian undi dan seterusnya mengarahkan kerusi itu dikosongkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya juga menetapkan Sivarraajh hilang kelayakan bertanding dan mengundi selama lima tahun.

Sementara itu, tidak ketinggalan mengulas gambar berkenaan adalah Anggota Parlimen Umno Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang cuba berjenaka dan mengaitkannya dengan buah ikonik Cameron Highlands.

"Brader tu minta kakak tu tukar duit kecil sebab nak beli strawberi Cameron Highlands. Husnudzon (Bersangka baik)," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Penolong Ketua Pusat Operasi PH Jelai Arvind Bharet tampil menjelaskan bahawa pihaknya hanya memberikan bayaran balik untuk kos petrol kepada sukarelawan yang menggunakan kenderaan sendiri pada hari penamaan calon semalam.

Arvind juga menjelaskan bahawa bayaran balik berkenaan akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pilihan raya calon PH.

Untuk rekod, setiap calon diterhadkan untuk berbelanja sebanyak RM200,000 bagi perbelanjaan kempen pilihan raya masing-masing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS