Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang pensyarah perubatan membangkitkan perbezaan undang-undang menangani isu rokok dan ganja di Malaysia untuk menyatakan tidak wajarnya hukuman mati berkaitan bahan terlarang itu.

Dekan Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Adeeba Kamarulzaman, berkata sekarton rokok lebih berisiko memudaratkan kesihatan berbanding 200 gram ganja.

"Anda tahu sekarton rokok lebih bahaya berbanding 200 gram ganja. (Tetapi) memiliki 200 gram ganja dianggap mengedar dadah dan melanggar Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati.

"Ini tidak masuk akal. Dari segi kesihatan (hukuman mati berkaitan ganja) bukanlah hujah yang logik.

"Kenapa kita tidak hukum gantung mereka yang menjual rokok?" katanya ketika sesi soal jawab dalam seminar mengenai pemansuhan hukuman mati di Universiti Monash Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kurangkan mudarat

Beliau mengulas sama ada undang-undang berkaitan dadah perlu direformasikan bagi melaksanakan dasar yang lebih bersifat belas ihsan dan mengurangkan mudarat yang lebih besar dalam menangani masalah penagihan dadah.

"Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (berkenaan hukuman mati) perlu dipinda, begitu juga undang-undang buang daerah. Buang daerah dengan harapan pesalah akan insaf.

"Tetapi asas saintifik pemulihan adalah penagih memerlukan sokongan keluarga, rakan dan orang terdekat, bukan dijauhkan," katanya, sambil menegaskan penagihan dadah perlu dilihat sebagai isu kesihatan.


Baca: Ganja perubatan: Undang-undang boleh dipinda, kata pensyarah


Terdahulu, Adeeba yang juga Pengerusi Yayasan Aids Malaysia membuat pembentangan bertajuk "Keperluan Reformasi Polisi Dadah di Malaysia" yang antara lain menunjukkan dasar pengurangan mudarat berjaya mengurangkan jangkitan AIDS di kalangan pengguna dadah.

Beliau terlibat dalam program pengurangan mudarat HIV dan Aids, antaranya melalui pemberian methadone kepada pengguna dadah jenis heroin.

Katanya, penurunan signifikan dapat dilihat apabila hanya 115 kes jangkitan baru HIV pada 2017 berbanding 4,000 kes pada 2005.

Tak selari dengan antarabangsa

Dalam pada itu, beliau menyifatkan "dasar memerangi najis dadah" yang berjalan hampir 40 tahun telah gagal kerana lebih menekankan aspek penguatkuasaan berbanding kesihatan, rawatan dan pemulihan.

Malah, katanya lagi, yang biasanya menerima hukuman berat adalah golongan miskin berbanding orang yang mampu mendapatkan khidmat guaman yang bagus untuk membela mereka di mahkamah.

Selain Dr Adeeba, turut membuat pembentangan adalah peguam Samantha Chong dan Pengarah Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia Nordin Muhamad.

Chong adalah merupakan peguam kepada Kapten (B) Amiruddin @ Nadarajan Abdullah atau  'Doktor Ganja' - kes kontroversi melibatkan penggunaan ganja yang dikatakan untuk tujuan perubatan. Satu lagi kes berkenaan Muhammad Lukman Mohamad yang dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Ogos lalu.

Beliau berkata, undang-undang Malaysia bahawa pemilikan ganja dengan berat 200 gram boleh membawa hukuman mati tidak selari dengan perkembangan di peringkat antarabangsa yang baginya lebih wajar dan waras.

"Misalnya di Sepanyol, jika polis menangkap anda memiliki 200 gram ganja, anda hanya akan diberi amaran dan polis akan merampas ganja tersebut," katanya yang pernah menjadi timbalan pendakwa raya di Pejabat Peguam Negara pada 2009 hingga 2012.

Chong turut berkongsi pengalaman mengendalikan kes penangkapan di kawasan Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan Kebangsaan (NSEP).

"Ketika memulakannya, kami fikir ia tidak memerlukan perubahan undang-undang. Tapi berlaku tangkapan oleh polis terhadap penagih yang hadir ke klinik (untuk mendapatkan methadone).

"Saya tanya pegawai tangkapan (arresting officer) kenapa tangkap di tempat kami buat program pengurangan mudarat, sedangkan terdapat garis panduan polis untuk tidak melaksanakan penguatkuasaaan di kawasan NSEP.

"Mereka jawab saya hanya ikut undang-undang.

"Maka pada jangka masa panjang undang-undang ini juga mesti diubah," kata Chong lagi.

Sementara itu, Nordin berkata pihaknya komited untuk melaksanakan dasar reformasi jabatan penjara.

Beliau menyambut baik kenyataan Ketua Hakim Negara Richard Malanjum yang mahu hakim dan majistret mempertimbang menjatuhkan hukuman kerja khidmat masyarakat berbanding penjara, bagi kesalahan kecil.

"Kerana itulah kami menggalakkan sistem probation (pengawasan dalam komuniti) bagi mengembangkan sistem pemulihan (berbanding kaedah sedia ada).

"Jabatan Penjara hanya pelaksana, kami menghormati dasar kerajaan sekarang. Dan salah satu dasarnya adalah mengkaji undang-undang yang dilihat tidak berperi kemanusiaan termasuk hukuman mati dan akta seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma)," katanya.

Beliau berkata kebanyakan mereka yang menjalani hukuman penjara adalah berkaitan kesalahan dadah dan ia memakan kos yang tinggi.

"Belanja sehari untuk seorang penghuni adalah sebanyak RM41 seorang. (Sedangan) sebahagian besar sebenarnya hanya perlu diletakkan bawah pengawasan saja."

Beliau percaya sistem rawatan dan pengawasan dalam komuniti lebih berkesan menangani gejala dadah berbanding hukuman penjara yang menyaksikan ramai dihukum akibat kesalahan berulang.

Seminar ini anjuran bersama Coalition Against Death Penalty, Suaram, Amnesty International dan dengan kerjasama Universiti Monash.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS