Pengasas Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Prof Sukor Kasim menggesa agar badan itu kembali kepada matlamat asalnya iaitu untuk membantu golongan miskin selaras dengan ikrar yang diungkapkan.
Ketika ini Sukor melihat pengurusan AIM pada zaman BN menjadi kerajaan telah menubuhkan anak syarikat yang jelas bertentangan dengan matlamat asal badan itu berdasarkan Seksyen 17 (2) Akta Pemegang Amanah 1992.
“Mereka langgar semua peraturan. Kerana ketika ada pelepasan cukai itu, kamu tak boleh tubuh anak syarikat, kamu tak boleh bayar ganjaran kepada ahli lembaga.
“Kalau mereka nak buat juga, mereka kena dapat kebenaran daripada ketua pengarah. Tapi mereka tubuh empat anak syarikat dan sebuah koperasi.
“Sejak 2008 hingga 2016 mereka tak mendapat kelulusan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan melanggar klausa yang ditetapkan,” katanya dalam kunjungan ke pejabat Malaysiakini, baru-baru ini.
Selain isu asas tidak diselesaikan, Sukor turut menyelar tindakan AIM melantik pengurusan terbaru selepas kemenangan PH.
Dakwanya, lantikan itu berdasarkan “kronisme” apabila isteri kepada seorang setiausaha politik perdana menteri dilantik menjadi pengerusi baru AIM.
Batal jika bercanggah
“Mereka gunakan Junaidah untuk pastikan mereka boleh teruskan. Mereka juga rakan kongsi anak syarikat dan mereka juga ahli lembaga AIM, jadi terdapat juga isu kronisme, komisyen dan juga tender,” katanya.
Untuk rekod, AIM ialah badan amanah persendirian yang ditubuhkan pada 17 September 1987 dan didaftarkan bawah Akta Amanah (Pemerbadanan) 1952 (pindaan 1981).
Pada 6 Dis lalu, kerajaan dilaporkan sedang menyediakan dokumen untuk memulakan prosedur pembatalan sijil AIM kerana tidak memenuhi syarat-syarat Suratcara Ikatan Amanah terutamanya dalam penubuhan anak-anak syarikat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin, berkata berdasarkan Surat Ikatan Amanah 26 April 2012 klausa 3(c), penubuhan anak syarikat adalah tidak dibenarkan.
Hanipa berkata, dalam hal itu menteri melalui Seksyen 171 (c) Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) boleh membatalkan Sijil Pemerbadanan AIM sekiranya didapati melaksanakan aktiviti yang bercanggah dengan objektif sebagaimana dinyatakan melalui Surat Ikatan Amanah.
Mengulas perkara itu, Sukor meminta AIM tidak dibatalkan sebaliknya dibaik pulih agar kembali kepada matlamat asal.
“Pada kita tak perlu bubarlah, hanya kita mohon kembali kepada misi dan visi sebenar, kemudian ditadbir dengan misi dan visi lebih telus dalam semua urusan, selain ditadbir orang yang pakar.
“Kita juga nak mendekati golongan sasar. Perlu ada komitmen baru, pasukan pengurusan yang lebih profesional dan fokus kepada kumpulan sasar,” katanya.
Macam Bank Grameen
Selain itu kata Sukor, pengurusan baru seharusnya memfokuskan golongan B40 dan ke bawah dalam usaha membantu ekonomi mereka.
“Apabila perkara ini dibangkitkan di parlimen, macam mana kita nak bantu kerajaan PH. Kita berterima kasih kepada kerajaan yang memberi pinjaman mudah yang begitu banyak.
“Tapi kita bersedih kerana impak tidak seberapa. Lebih ramai sahabat yang menarik diri daripada yang menyertainya.
"Kajian menunjukkan AIM hanya menjangkau 40 peratus keluarga miskin sahaja, jadi fokus kita sekarang nak mengembalikan AIM menjangkau B10. Selepas itu baru B20 kemudian B30 dan B40,” katanya.
Dalam kunjungan ke Malaysiakini itu, Sukor sempat menyingkap kembali sejarah penubuhan tabung amanah itu tiga dekad lalu.
Katanya, idea perkembangan AIM berkait rapat dengan penubuhan Bank Grameen di Bangladesh.
Katanya kaedah yang ditawarkan AIM adalah skim pembiayaan kredit mikro dengan seliaan rapi untuk golongan miskin agar mereka dapat mengusahakan sebarang kegiatan ekonomi berasaskan kemahiran dalam usaha menambah pendapatan.
Sukor berkata, dalam usaha menjejaki keluarga miskin, pihaknya pergi ke pelbagai ceruk kampung pada penghujung 1980-an dengan menaiki motosikal.
Hubungan sahabat, cikgu
Demi memastikan aktiviti itu benar-benar menjangkau golongan sasaran, kata Sukor, AIM melarang pegawai wanitanya berkasut tumit tinggi.
Alasannnya, agar mereka mudah masuk ke kawasan pedalaman.
Katanya orang kampung - yang digelarnya ‘sahabat’ - memanggil mereka sebagai “cikgu”, bukan kerana mereka seorang guru sebaliknya kerana usaha mendidik secara tidak lansung.
“Semasa kita latih sahabat, setiap hari kita latih dia bawa duit dua kupang (20 sen), apabila sudah lima hari, nilai itu akan jadi RM1, kita ini nak tubuhkan tabung kumpulan, jadi kita latih bawa dua kupang selama lima hari untuk hadir ke mesyuarat.
“Seterusnya, lima peratus daripada simpanan mereka itu akan masuk tabung kumpulan untuk memastikan tabung kumpulan hidup.
“Keseluruhan idea ini adalah untuk mewujudkan bank dalam pasukan ini.
"Jika kamu lihat macam mana ia berfungsi, ia seperti Bank Grameen. Kumpulan ini gunakan duit simpanan mereka untuk beri pinjaman kepada ahli dengan bayaran balik bagi sesuatu tempoh, akhirnya mereka jadi pemilik bank itu,” katanya.
Menurut bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu, ketika beliau dan pasukannya bersama AIM, pihaknya mengikut syarat-syarat yang ditetapkan LHDN.
Selain itu, pihaknya juga turut berikrar antaranya akan membantu fakir miskin tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum serta tidak akan mengambil rasuah walau meminum segelas air kosong.
“Tapi depa (pengurusan baru ketika zaman BN) pinda ikrar itu. Sebenarnya, ikrar itu yang mengawal diri dia dari salah laku, ambil duit orang dan tidak ambil rasuah.
“Kedua, depa pinda ikrar dan mengatakan kami akan telus dan tekun, amanah menjalankan tugas tanpa mementingkan keuntungan peribadi atau balasan dalam apa-apa bentuk pun, tapi bahagian menyebut tanpa mengira bangsa, politik itu dia buang,” kesalnya.