Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Senator nafi ugut tok batin tapi ini rakaman suaranya
Diterbitkan:  Jan 11, 2019 8:31 PM
Dikemaskini: 5:06 PM

PRK CAMERON | Senator Bob Manolan Mohamad menafikan beliau mengugut tok batin di Cameron Highlands semasa bertemu mereka hari ini.

Dalam kenyataannya hari ini Bob Manolan berkata apa yang ingin disampaikannya ialah, ketua-ketua masyarakat Orang Asli itu tidak sepatutnya terlibat dengan Umno dan pada masa sama menerima elaun daripada kerajaan pusat.

Bob Manolan yang juga berketurunan Orang Asli berkata tok batin terbabit dilantik oleh menteri melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Justeru katanya adalah logik dan rasional untuk mereka sealiran dengan aspirasi dan dasar kerajaan Pakatan Harapan yang ingin membawa perkhidmatan terbaik dan perhatian khususnya isu masyarakat Orang Asli melalui agensi-agensi terbabit terutamanya Jakoa.

"Dalam keseluruhan kenyataan saya, tidak pernah saya menyatakan amaran atau ugutan yang berbunyi tiada undi tiada bayaran, atau pun no vote, no pay," katanya.

[Nota pengarang: Walaupun Bob Manolan tidak menggunakan perkataan "undi" beliau ada menyatakan pihak yang tidak "menyokong" PH atau kerajaan pusat akan disingkirkan. Sila rujuk rakaman audio dan transkrip di hujung berita ini.]

Malaysiakini juga melaporkan petikan ucapan Bob Manolan yang berkata tok batin dibayar antara RM900 dan RM1,200 oleh kerajaan persekutuan.

Justeru katanya mereka wajar menyokong PH.

Sokong agenda kerajaan

Kenyataan itu dibuat semasa sesi dialog di antara wakil rakyat PH dan 18 tok batin di Pos Betau, sebuah kawasan kubu kuat BN di Cameron Highlands.

Berdasarkan rakaman audio itu Bob Manolan ada menyebut: "Tak sokong, kita buang" dan "mana batin-batin yang tak sokong kerajaan, kita tak bayar gaji dia. Betul! Jangan bayar gaji dia."


Baca Penjelasan tentang isu tok batin Cameron Highlands


Beberapa tok batin yang ditemui Malaysiakini selepas majlis itu menyatakan rasa marah dan kecewa dengan kenyataan Bob Manolan.

Komuniti Orang Asli membentuk 22 peratus daripada lebih 32,000 pengundi berdaftar di Cameron Highlands. Mereka akan mengundi dalam PRK yang diadakan pada 26 Jan ini.

Berdasarkan rekod terdahulu, majoriti pengundi di kawasan tanah tinggi yang terkenal sebagai pusat percutian dan pertanian itu memberikan sokongan kepada BN.

Berikut ialah rakaman dan transkrip ucapan Bob Manolan tersebut:

 

"Batin dan jugak pengerusi MPKK adalah dibayar oleh kerajaan pusat. Iaitu gaji batin ada yang RM900, ada yang RM1,200 ada yang RM1,000. Bergantung kepada jumlah penduduk, bergantung kepada keluasan kampung.

"Jadi batin ini memang dibayar oleh kerajaan pusat maka itu batin kena sokong Pakatan Harapan.

"Tak sokong, kita buang.

"Mana batin-batin yang tak sokong kerajaan kita tak bayar gaji dia, betul! Jangan bayar gaji dia.

"Kita bayar gaji dia, dia tak sokong kita, buat apa kita bayar gaji dia?

"Kita mahu pemimpin masyarakat orang asli, pengerusi MPKK mesti menyokong agenda rakyat, eh, agenda kerajaan.

"Kalau mereka tidak boleh bekerjasama dengan kerajaan sekarang ini, bagaimana kita nak lantik dia jadi pemimpin masyarakat kampung?

"Dasar kerajaan sekarang bukan seperti kerajaan dahulu, kerajaan sekarang pemimpin Orang Asli itu mesti membela nasib anak buah mereka, kebajikan mereka.

"Masalah kampung mesti mereka ketengahkan kepada kerajaan, bukan mengikut kerajaan dulu.

"Angguk-angguk 'yes, yes' semua. Janji duit masuk tiap-tiap bulan. Ini kita tidak boleh terima.

"Sebab itu saya dapat maklumat ada batin yang dalam masa yang sama dia pengerusi ketua cawangan Umno. Pilih antara satu, kalau dia nak jadi batin, letak jawatan sebagai ketua cawangan Umno.

"Kalau dia nak jadi ketua cawangan Umno, letak jawatan batin. Itu saja.

"Jadi yang bayarnya kerajaan pusat dan batin ini adalah tertakluk di bawah Akta 134 dan yang paling penting, ini dalam Akta Orang Asli (Akta 134) batin dilantik oleh menteri.

"Menteri sekarang ini Pakatan Harapan. Ini kena jelas."

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS