NOTA PENGARANG: Bekas ketua hakim negara, Abdul Hamid Mohamad sudah menarik semula kenyataan asalnya berhubung berita ini dan mengaku silap. Berita mengenainya boleh dibaca di sini.
Bekas Ketua Hakim Negara, Abdul Hamid Mohamad mendakwa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V melakukan beberapa kesilapan semasa menduduki takhta, termasuk berhubung pengampunan ke atas Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Menulis dalam satu rencana yang disiarkan di laman Umno Online dan juga laman web peribadinya, Abdul Hamid berkata, adalah satu kesilapan bagi Seri Paduka untuk memberitahu Perdana Menteri Dr Mahathir bahawa baginda bersetuju untuk mengampunkan Anwar.
"Bahawa adalah satu kesilapan bagi Yang di-Pertuan Agong memberitahu Dr Mahathir bahawa baginda bersetuju untuk mengampunkan Anwar sebelum mesyuarat Lembaga Pengampunan dan menerima kunjungan Anwar.
“Lebih buruk lagi apabila Seri Paduka memberitahu Anwar bahawa beliau diampunkan kerana ketidakadilan yang dilakukan kepadanya.
“Itu demoralise mahkamah, pendakwa raya dan polis kerana ia seolah-oleh menyatakan bahawa mereka kelihatan seperti alat kerajaan sebelumnya,” katanya.
Luar waktu pejabat
Selain peristiwa itu, bekas ketua hakim negara itu juga menyentuh tentang semasa pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, baginda sering mengadakan majlis-majlis angkat sumpah di luar waktu pejabat.
Ini, katanya, termasuk majlis mengangkat sumpah pelantikan kontroversi Md Rauf Sharif sebagai ketua hakim Negara dan Zulkefli Ahmad Makinuddin sebagai presiden mahkamah rayuan untuk tempoh lanjutan yang dilakukan pada waktu malam.
“Begitu juga majlis angkat sumpah Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara. Ini adalah fungsi rasmi Yang di-Pertuan Agong yang serius. Ia patut dilakukan di waktu pejabat,” katanya.
Abdul Hamid juga berkata, majlis mengangkat sumpah Dr Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh negara juga wajar diberi perhatian khusus.
Katanya, apa yang berlaku pada malam 9 Mei sebaik sahaja pengumuman keputusan pilihan raya ke-14 menunjukkan bahawa Pakatan Harapan (PH) telah mendapat majoriti, Dr Mahathir telah ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.
Tanpa diundang
Ini, kerana, beliau takut kiranya akan berlaku lompatan parti oleh ahli-ahli parlimen yang baru dipilih itu yang akan menyebabkan PH kehilangan majoriti.
“Bagi saya, adalah memalukan bagi seorang bakal perdana menteri untuk pergi tanpa diundang, pada waktu malam, mungkin untuk mengejutkan Yang di-Pertuan Agong jika baginda sedang beradu, untuk mengangkat sumpah beliau sebagai perdana menteri.
“Kedua, Agong tidak sepatutnya nampak seperti menjalankan tugasnya di bawah tekanan. Seri Paduka berhak memuaskan dirinya siapa, menurut pendapatnya, mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen yang baru dipilih itu,” katanya.
Menurut Abdul Hamid, jika ahli-ahli Parlimen yang baru dipilih hendak menyeberang dan menyeberang balik malam itu, mereka seharusnya dibenarkan berbuat demikian.
“Sekurang-kurangnya, Seri Paduka sepatutnya berpeluang untuk memuaskan diri baginda siapa yang mempunyai sokongan majoriti, pada siang hari keesokan harinya,” katanya.
Sambil menyifatkan upacara mengangkat sumpah perdana menteri adalah upacara paling penting yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, kata bekas ketua hakim negara itu, ia perlu dilakukan di majlis yang sesuai.
“(Ia) dihadiri oleh para VIP termasuk, saya cadangkan, mantan perdana menteri terakhir, dan disiar secara langsung oleh televisyen.
“Ia akan membuktikan bahawa demokrasi berjalan dengan baik di Malaysia. Ia juga menunjukkan kematangan ahli-ahli politik di Malaysia..
“Saya harap di masa hadapan Yang diPertuan Agong tidak akan tunduk kepada tekanan. Biarkan calon perdana menteri piket di luar Istana Negara sepanjang malam jika beliau mahu,” katanya.