Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Premis makanan tiada sijil pengesahan halal dinasihat tidak perdaya pengguna
Diterbitkan:  Jan 10, 2019 7:55 AM
Dikemaskini: 11:55 PM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menasihati pengusaha premis makanan di negeri itu yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) supaya tidak memperdaya dan mengelirukan pengguna terutama orang Islam.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, adalah menjadi satu kesalahan jika sesebuah premis dimiliki oleh orang bukan Islam yang tidak memiliki sijil berkenaan mempamerkan tulisan dan bacaan ayat al-Quran.

"Ini kerana dengan meletakkan tulisan al-Quran di premis mereka, ia boleh mengelirukan pengguna Islam yang akan beranggapan premis berkenaan mempunyai SPHM tetapi sebenarnya tidak.

"KPDNHEP Selangor memandang serius isu halal ini kerana pada tahun lepas sahaja kita telah menerima 22 aduan berkaitan status halal," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan mengejut di beberapa premis makanan semalam.

Pemeriksaan selama tiga jam itu turut disertai oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Majlis Perbandaran Klang.

Azman berkata SPHM tidak diwajibkan kepada setiap premis makanan untuk beroperasi, tetapi ia akan menjadi kesalahan jika premis yang tidak mempunyai SPHM mempromosikan premis mereka sebagai halal.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pemeriksaan mengejut tersebut, beliau berkata sebanyak empat premis makanan di sekitar Bukit Tinggi telah diperiksa.

Azman berkata pemeriksaan itu diadakan bagi memastikan premis-premis makanan mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Dalam pemeriksaan hari ini tiga premis telah dikenakan tindakan atas kesalahan berkaitan kebersihan, halangan dan satu kesalahan di bawah SSM," katanya menambah KPDNHEP akan terus mengadakan pemeriksaan seumpama ini secara berterusan.

-- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS