Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK CAMERON | Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno esok dijangka akan membincangkan calon BN bagi PRK Cameron Highlands 26 Januari ini.

"Tentunya kerana PRK sudah dekat. Umno akan bincang," kata sumber peringkat tinggi parti itu kepada Malaysiakini ketika ditanya sama ada mesyuarat akan bertumpu kepada soal itu.

Sumber itu juga tidak menolak kebarangkalian BN akan meletakkan calon Umno di kerusi tradisi MIC tersebut.

Mesyuarat MT dijangka bermula pada pukul lapan malam di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Sementara itu, pemangku Presiden Umno Mohamad Hassan enggan mengulas sama ada Umno akan bertanding di Cameron Highlands.

Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau hanya berkata calon akan diumumkan Khamis ini.

BN dijangka membuat pengumuman itu di Hotel Seri Pacific yang terletak di sebelah ibu pejabat Umno.

Calon PH, M Manogaran

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Mohamad turut termasuk dalam senarai yang berpotensi dicalonkan.

Nama lain dalam senarai itu adalah Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan pemimpin masyarakat Orang Asli yang dahulunya seorang pegawai kanan polis.

Malaysiakini juga melaporkan MIC memutuskan untuk tidak bertanding di Cameron Highlands dan memberi kebenaran untuk kepimpinan BN memutuskan calonnya.

Sumber memaklumkan keputusan itu dibuat ketika mesyuarat jawatankuasa kerja pusat MIC pagi ini.

Pada PRU lalu, Naib Presiden MIC C Sivarraajh menang dalam pertembungan lima penjuru. Beliau menewaskan calon DAP M Manogaran dengan perbezaan 600 undi.

Mahkamah Pilihan Raya pada November membatalkan keputusan itu selepas mendapati berlakunya rasuah dan mengarahkan pilihan raya kecil diadakan.

Pakatan Harapan menamakan Manogaran sebagai calonnya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS