PRK Cameron l MIC dilaporkan tidak akan bertanding di kerusi tradisional Cameron Highlands dan membenarkan kepimpinan BN untuk menentukan calon gabungan itu yang akan bertanding pada pilihan raya kecil 26 Januari nanti, kata seorang sumber.
Menurut sumber itu, keputusan berkenaan dibuat semasa mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC pagi ini.
"Daripada 56 anggota CWC yang hadir, hanya enam menentang keputusan supaya tidak bertanding.
"Pemimpin BN akan menentukan calon untuk pilihan raya kecil itu," kata sumber itu, yang juga adalah anggota CWC, kepada Malaysiakini.
Sumber itu juga mendedahkan bahawa nama Mohamad Hasan yang kini menjalankan tugas-tugas presiden berada dalam senarai calon tersebut.
Pada 17 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan kerusi dewan undangan negeri Rantau yang dimenangi oleh timblan presiden Umno itu.
Mohamad Hasan, bekas menteri besar Negeri Sembilan, memenangi kerusi itu selepas lawannya daripada PKR, Dr S Streram tidak dibenarkan memfailkan kertas pencalonannya semasa pilihan raya umum lalu.
Beliau telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya tersebut.
Malaysiakini juga difahamkan bahawa nama Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan seorang pemimpin Orang Asli, yang juga bekas pegawai kanan polis, turut disenaraikan sebagai antara calon untuk kerusi parlimen Cameron Highlands.
BN dijangka mengumumkan calonnya pada Khamis ini di Hotel Seri Pacific, yang terletak bersebelahan dengan ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.
Umno berharap dapat memanfaatkan sejumlah besar pengundi Melayu di Cameron Highlands untuk mengekalkan penguasaan BN di kerusi berkenaan.
Daripada 32,048 pengundi berdaftar di Cameron Highlands, 34 peratus adalah orang Melayu, 30 peratus Cina, 22 peratus lagi dan 15 peratus India.
Pada pilihan raya umum lalu, naib presiden MIC C Sivarraajh memenangi kerusi itu dalam pertandingan lima penjuru, mengatasi M Manogaran dari DAP dengan kelebihan kira-kira 600 undi.
November lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan itu atasan alasan berlaku amalan rasuah dan memutuskan bahawa pilihan raya diadakan semula.
Pakatan Harapan telah menamakan Manogaran sebagai calonnya.