Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pimpinan Bersatu Perlis memang bermasalah – SU Agung

Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya mengakui kepimpinan parti itu di Perlis bermasalah sejak dari awal.

Marzuki berkata, Bersatu Pusat mengambil maklum dakwaan yang dikeluarkan bekas Setiausaha Bersatu Perlis, Wan Saiful Wan Jan mengenai kegiatan salah guna kuasa melibatkan parti itu.

“Perlis ni dari dulu bermasalah dari segi pimpinan, kita pun tengah fikir cari jalan penyelesaian, bukan masalah Bersatu tapi pimpinan di Perlis,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya, sekiranya terdapat masalah integriti di kalangan kepimpinan maka, pihak pusat tidak akan teragak-agak untuk membuat rombakan semula.

“Kita akan siasat, kalau ada masalah integriti kita akan buat rombakan. Ini bukan masalah parti, ini masalah pimpinan. Kita selalu pegang pada prinsip perjuangan kita,” katanya.

Digesa tarik balik laporan polis

Marzuki berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Wan Saiful bahawa beliau digugurkan sebagai setiausaha Bersatu Perlis kerana enggan terlibat dengan kegiatan salah guna kuasa.

Wan Saiful dalam kenyataannya hari ini mendedahkan sebelum ini beliau telah membuat laporan polis mengenai dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan ratusan ribu ringgit di pejabat Bersatu negeri.

Bagaimanapun, beliau mendakwa telah digesa menarik balik laporan berkenaan.

Menurut Wan Saiful, beliau telah ditawarkan sejumlah wang yang besar sekiranya membantu dalam pengaturan kontrak tersebut.

Bagaimanapun beliau enggan melakukan salah guna kuasa dan tidak akan bertolak ansur dalam hal melibatkan integriti.

Gugur Wan Saiful

Malaysiakini hari ini melaporkan Bersatu Perlis menggugurkan Wan Saiful atas alasan mengambil kira kesibukannya sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu baru-baru ini, Naib Presidennya Abdul Rashid Abdul Rahman mencadangkan kontrak kerajaan diberikan kepada ketua bahagian dan cawangan bagi mendapatkan dana untuk menggerakkan parti.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat tentangan kepimpinan parti antaranya Ketua Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan disokong Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir.

Malah, ada daripada kalangan Menteri Bersatu yang ingin membawa perkara itu ke kabinet.

Marzuki ketika ditanya, adakah masalah Bersatu Perlis disebabkan kontrak, bagaimanapun menafikannya dan menegaskan, ia adalah masalah kepimpinan Bersatu Perlis itu sendiri.

“Di Perlis lebih kepada integriti, pimpinan, dia bukan masalah kontrak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS