Beberapa jam selepas digugurkan sebagai setiausaha Bersatu Perlis, Wan Saiful Wan Jan mendakwa berlaku salah guna kuasa dalam Bersatu negeri itu.
Beliau mendedahkan telah membuat laporan polis mengenai dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan ratusan ribu ringgit di pejabat Bersatu negeri.
Bagaimanapun, dakwanya, beliau digesa menarik balik laporan berkenaan.
“Saya tidak pasti apa motifnya laporan itu mahu ditarik balik, tetapi saya berkeras tidak mahu menarik balik laporan polis itu.
“Sebelum itu, saya juga telah bertegas untuk tidak mencampuri urusan mengaturkan pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat yang melibatkan anak pemimpin Bersatu dari Perlis,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataannya selepas laporan itu mendakwa beliau telah ditawarkan sejumlah wang yang besar sekiranya membantu dalam pengaturan kontrak tersebut.
“Saya enggan melakukan salah guna kuasa itu. Saya tidak akan bertolak ansur dalam hal integriti, dan saya tidak akan tunduk kepada tekanan untuk mendapatkan wang dengan cara salah oleh mana-mana individu tanpa mengira jawatan yang mereka pegang di Perlis,” katanya.
Malaysiakini hari ini melaporkan Bersatu Perlis menggugurkan Wan Saiful atas alasan mengambil kira kesibukannya sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Sementara itu, Wan Saiful berkata, tindakannya tidak mahu berkompromi dengan salah guna kuasa bagi membantu Bersatu Perlis menjadi lebih baik.
“Saya akan terus bekerja untuk kebaikan parti. Malaysia Baru perlu disambung menjadi Perlis Baru,” katanya.