Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Menteri syukur Najib sanggup turun pantau harga di Pasar Datuk Keramat

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution memanjatkan rasa syukur atas kesungguhan bekas perdana menteri Najib Razak yang sanggup turun padang untuk memantau harga barangan di sekitar Pasar Datuk Keramat, di Kuala Lumpur, semalam.

“Saya sangat bersyukur bekas perdana menteri turun padang dan mengambil peranan itu (memantau harga).

“Saya sangat menghargai kesungguhan Datuk Seri Najib (Razak) yang turun ke Pasar Keramat.

“Bukan saja aduan yang datang dari bekas perdana menteri, tapi aduan dari rakyat biasa pun kami akan mengambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Putrajaya hari ini.

Kata Saifuddin, bahagian penguatkuasaan KPDNHEP telah pun pergi melawat ke pasar itu bagi menyiasat aduan tersebut.

“Aduan Datuk Najib kami teliti dan bahagian penguatkuasa telah pun menyiapkan laporan kepada saya, cuma diserahkan semalam, saya belum sempat tengok,” katanya.

Menurut beliau, rakyat Malaysia patut mencontohi sikap Najib untuk menjadi pengguna yang bijak.

“Saya gesa rakyat malaysia menghargai kesungguhan yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Najib ke arah memastikan pengguna dapat menjadi pengguna yang bijak,” katanya.

Semalam, Najib memuat naik satu gambar di Facebooknya yang memaparkan harga telur terbaru yang dipaparkan oleh peniaga di pasar tersebut.

Dalam hantaran tersebut, Najib mempersoalkan kenyataan menteri bahawa harga telur akan turun sedangkan hakikatnya barang itu mengalami kenaikan.

“Ini papan harga telur di pasar pagi tadi. Menteri kata harga telur turun tapi penjual kata naik.

“Menteri yang jaga telur itu sudah ke mana?” soalnya.

Mengulas lanjut tentang perkara tersebut, Saifuddin menjelaskan kementeriannya sentiasa bekerjasama rapat dengan kementerian pertanian bagi menjaga kepuasan hati pengguna.

“Aspek bekalan (telur) di bawah bidang tanggungjawab kementerian pertanian, manakala KPDNHEP memastikan kepatuhan terhadap harga," jelasnya.

Tambah Saifuddin, tanggungjawab penguatkuasaan sentiasa dilakukan secara berterusan oleh kementeriannya

“Bahkan lebih 60 peratus kekuatan KPDNHEP adalah ( daripada bahagian) penguatkuasaan. Tugas hakiki adalah menerima aduan dan mengambil tindakan atas aduan tersebut.

“Saya sentiasa menerima maklum balas daripada bahagian penguatkuasaan hampir setiap hari tentang langkah-langkah penguatkuasaan yang telah mereka ambil,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS