Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Lebih molek Azmin ikut platform tersedia - Saifuddin

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berpendapat ‘lebih molek, cantik dan tertib’ jika ahli parti menyampaikan keluhan dan rungutan melalui saluran parti berbanding membuat bantahan secara terbuka.

Katanya, platform tersedia seperti mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), mesyuarat biro politik boleh dimanfaatkan oleh ahli parti untuk menyampaikan keluhan dan rungutan, tidak kira di peringkat pusat, negeri mahupun cabang.

“Dalam kongres kita sediakan, dalam MPP kita sediakan, mesyuarat mingguan biro politik kita buka peluang (untuk sampaikan pendapat).

“Berdasarkan ruang yang kita buka, adalah lebih molek, tertib dan cantik jika saluran-saluran parti yang tersedia boleh dimanfaatkan,” katanya dalam sidang media selepas Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali semalam yang mempertahankan bantahan terbuka yang dilakukannya terhadap pelantikan parti yang dibuat Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Kata Azmin, biarpun beliau tidak mengabaikan saluran parti, ada ketikanya kenyataan perlu dibuat secara terbuka.

Tambah Saifuddin, sebagai parti reformasi yang bersifat dinamik, PKR sentiasa membuka ruang seluas-luasnya kepada ahli pimpinan dan anggota untuk memanfaatkan setiap paltform membuat keputusan yang tersedia dalam parti.

Pada 29 Disember lalu, Azmin secara terbuka membantah pelantikan jawatan dalam MPP PKR yang diumumkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sehari sebelumnya.

Menurut Azmin, pelantikan tersebut tidak mencerminkan prinsip "perwakilan yang adil dan saksama" terhadap aspirasi anggota parti.

Beliau yang merupakan menteri hal ehwal ekonomi juga mempertikaikan lantikan semula Saifuddin sebagai setiausaha agung yang disifatkannya 'tidak berdasarkan merit’.

Bagaimanapun, Anwar menjawab bantahan itu dengan mengatakan pelantikan dibuat dengan mengambil pendekatan inklusif, sedangkan Azmin menurutnya tidak mahu 'sesetengah individu’.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS