Bersatu Perlis mengambil keputusan untuk menggugurkan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan daripada jawatan setiausaha parti negeri itu.
Pengerusinya, Ameir Hassan berkata keputusan itu diambil setelah mengambil kira tahap komitmen yang diberikan oleh Wan Saiful terhadap Bersatu Perlis.
“Dia digugurkan kerana dia sibuk sangat dalam kemelut PTPTN. PTPTN tu berat dan banyak kerja dan kerja-kerja (parti) tak diselaraskan, kita tak mahu bebankan dia (Wan Saiful).
“Bila saya tengok ada permasalahan komunikasi dan sebagainya kerana dia terlalu sibuk dengan PTPTN, jadi biarlah dia selesaikan, tak adil bagi beban berlebihan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Menurut Ameir, keputusan itu diambil dua hari lalu pada mesyuarat khas Bersatu negeri.
“Kita bincang dalam mesyarat perhubungan negeri, dua hari lepas. Dia tak ada dalam mesyuarat tu.
“Kita juga tak maklumkan pada dia kerana kuasa melantik dulu pun adalah kuasa pengerusi negeri, jadi saya lantik dia (dulu) pun tak bincang dengan dia. Cuma bagitahu dia saja, nak lantik dia,” katanya.
Ameir berkata, surat pemakluman penguguran tersebut juga telah dihantar kepada Wan Saiful.
Katanya, buat masa ini, jawatan tersebut akan dipangku pimpinan Bersatu negeri.
Ameir juga turut menafikan penguguran tersebut berpunca daripada masalah dalaman parti.
“Bukan masalah dalaman, kalau ada yang sebut masalah dalaman, itu cuma pembangkang yang nak laga-lagakan kita,” katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Wan Saiful dan sedang menunggu maklum balas daripadanya.