Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Raja-Raja Melayu bersidang di Istana Negara
Diterbitkan:  Jan 7, 2019 12:10 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

Sultan dan Raja-raja Melayu dilaporkan sedang bersidang di Istana Negara di Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat khas. Adalah dipercayai ini susulan selepas Sultan Muhammad V bertindak turun takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Muhammad V dipilih oleh Persidangan Raja-raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Disember 2016. Tempoh baginda dijadualkan berakhir pada 2021.

Sehingga Persidangan Raja-raja Melayu memutuskan pada Yang di-Pertuan Agong yang baru, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, yang merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, akan bertindak sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong.

Pengganti Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau mengikut penggiliran seperti pusingan terdahulu.

Sebaliknya, ia bergantung kepada keputusan undi rahsia Majlis Raja-Raja dan persetujuan sultan yang dipilih.

Portal Utusan Malaysia memetik pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, walaupun wujud senarai kekananan mengikut penggiliran terdahulu, Majlis Raja-Raja mempunyai kebebasan untuk memilih tanpa menurut senarai itu.

‘‘Walaupun Majlis Raja-Raja mempunyai senarai mengikut kekananan, tapi ia tidak semestinya menurut kekananan itu sebab ia bergantung kepada undi Majlis Raja-Raja.

“Yang kedua, ia perlu dipersetujui oleh baginda yang dipilih. Walaupun mendapat sokongan tetapi jika baginda sendiri menolak, baginda tidak akan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz berkata, Seri Paduka memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang diutus kepada Setiausaha Majlis Raja-raja.

Mengikut sistem penggiliran, Sultan negeri seterusnya yang ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah Pahang.

Namun, takhta baginda kini dipangku anaknya Tengku Abdullah. Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah ketika ini dilaporkan sedang gering.

Jika Majlis Raja-raja tidak boleh memilih Sultan Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong baru, giliran seterusnya adalah Johor yang diperintah Sultan Ibrahim Iskandar.

Bagaimanapun, Seksyen 1 Bahagian I Jadual Ketiga Perlembagaan menyebut syarat seseorang Raja akan dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ialah dewasa, tidak menolak untuk dipilih selain tidak ditolak Majlis Raja-raja.

Setakat ini, hanya tiga negeri yang belum melengkapi giliran Yang di-Pertuan Agong bagi pusingan kedua iaitu Pahang, Johor dan Perak.

Sementara itu, jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula kini disandang oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang baru sahaja menamatkan tugas sebagai pemangku Yang di-Pertuan Agong pada 31 Disember lalu.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS