Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Enam anjing dikesan mati oleh pemiliknya di Batu 14, Puchong, Selangor dalam apa yang dipercayai sebagai kes diracun.

Kejadian itu disedari sekitar tengah hari semalam apabila adiknya mendapati salah seekor anjing mereka bertindak dalam keadaan yang ganjil.

Menurut Alex Chandran, 38, adiknya pada mulanya tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat dan sekadar membekalkan air kepada anjing betina itu sebelum meninggalkan rumah mereka untuk menjemput anak-anaknya pulang dari sekolah.

"Pada kira-kira jam 1.30 petang, ketika pulang, dia mendapati bahawa anjing-anjing kami dalam keadaan yang sangat lemah.

"Ketika itu dia mengesyaki sesuatu yang tidak kena. Saya terus pulang apabila mendengar mengenai kejadian itu.

"Dan saya sendiri saksikan satu demi satu, dua ekor anjing itu dan empat anaknya mula mati," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Anjing dewasa yang kedua-duanya adalah betina, berusia empat tahun manakala anak anjing berkenaan, berusia sekitar dua bulan.

Chandran berkata dia mengesyaki anjing-anjingnya mungkin diracun kerana mendapati sisa makanan di kawasan kediamannya tidak serupa dengan apa yang mereka bekalkan untuk makanan binatang peliharaaan itu.

Bedah siasat

Dia berkata anjing-anjing itu hanya diberikan dhall dan telur pada malam Rabu. Namun sisa makanan yang dijumpai, antara lain termasuk terdapat tulang ayam dan kulit ketam.

Chandran walau bagaimanapun enggan membuat spekulasi jika ada pihak yang meracuni anjing-anjingnya itu.

"Terpulang kepada pihak berkuasa. Kes sedang disiasat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Saya telah membuat laporan, semalam dan mereka segera datang ke rumah saya untuk menjalankan siasatan.

"Mereka mengambil semua sampel yang diperlukan termasuk bangkai anjing untuk bedah siasat," kata Chandran sambil menambah bahawa dia dimaklumkan bahawa jabatan berkenaan juga telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Malaysiakini telah menghubungi jabatan berkenaan untuk mendapatkan ulasannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS