Jabatan Kesihatan Pulau Pinang merampas 75 jenis produk makanan tambahan kesihatan termasuk madu dan jamu atas kesalahan pelabelan dan boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Mohd Wazir Khalid berkata label pada produk makanan tambahan itu mendakwa ia boleh menyembuh, menghindar dan mengurangkan sebarang jenis penyakit sedangkan dakwaan oleh pengeluar makanan tambahan itu tiada kesahihan dan tiada bukti boleh menyembuhkan penyakit.
Beliau berkata kesemua barangan yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM2,931.30 dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 18E (2) Peraturan-Peraturan Makanan 2017.
“Kompaun dikeluarkan terhadap pemilik kedai berkenaan atas kesalahan menjual barangan makanan yang dilarang,” kepada pemberita selepas operasi di sebuah kedai menjual makanan tambahan dan jamu di Bandar Perda, di Bukit Mertajam hari ini.
Sehubungan itu Mohd Wazir menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan iklan dan dakwaan kesihatan yang terdapat pada produk makanan tambahan kononnya dapat menyembuh, menghindar dan mengurangkan dari sebarang jenis penyakit.
Katanya pemeriksaan pihaknya mendapati produk seperti itu masih banyak dijual di pasaran terutamanya di kiosk serta kedai yang menjual jamu dan makanan tambahan.
“Malahan terdapat juga produk seperti air penawar pondok serta air 30 juzuk yang kononnya mampu melancarkan perjalanan darah, anti-kanser serta mengurangkan risiko penyakit.
"Pihak kami sedang giat menjalankan operasi bagi memantau kedai yang menjual produk seperti ini kerana banyak lagi produk yang didakwa boleh merawat penyakit lain seperti darah tinggi dan resdung,” katanya .
Mohd Wazir turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai masalah kesihatan agar mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang produk makanan tambahan yang mungkin boleh mengancam kesihatan mereka.
- Bernama