Ahli Majlis Tertinggi Umno digesa sebulat suara memberikan mandat penuh kepada Mohamad Hasan menjadi pemangku presiden dan bukannya sekadar timbalan presiden yang menjalankan tugas presiden.
Bendahari Umno Johor Md Jais Sarday (gambar) dalam kenyataan medianya hari ini berkata, mandat itu harus diberikan kepada Mohamad bagi memulihkan dan memperkasa Umno.
“Ahli Umno di peringkat akar umbi, khususnya di peringkat Umno Kluang hari ini menyambut baik iltizam yang digariskan Tok Mat selaku Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden untuk Umno bangkit kembali dan meneruskan perjuangannya dalam arena politik tanah air.
"Sehubungan dengan itu, sewajarnya beliau bukan sekadar menjalankan tugas-tugas presiden, sebaliknya kuasa untuk memangku jawatan tersebut seterusnya mengarahkan jentera dan parti di semua peringkat dalam memperkasa dan menjalankan kerja-kerja parti dalam menjayakan iltizam yang digariskan Mohamad," katanya.
Dalam kenyataan berasingan 31 Dis lalu, Mohamad atau dikenali sebagai Tok Mat menggariskan lima iltizam untuk membangunkan semua Umno yang dilihat semakin hilang sokongan selepas kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu.
Iltizam yang digariskan Mohamad ialah memerangi politik wang, menjadikan Umno pembangkang yang disegani, mengetengahkan idea sebagai modal politik, dan menyemak semula agenda Melayu.
Sementara itu Md Jais yang juga merupakan ketua Umno Kluang menyatakan keyakinan bahawa iltizam yang dibentang Mohamad merupakan hala tuju yang jelas untuk Umno bergerak ke hadapan sebagai pembangkang.
Md Jais juga mencadangkan agar Mohamad mewujudkan dua pasukan di peringkat kepimpinan parti yang akan membantu dalam pemulihan dan pemerkasaan Umno.
"Pasukan pertama berperanan dalam soal pemulihan parti, kumpulan ini akan digerakkan turun sehingga ke peringkat akar umbi, kerana dalam soal pemulihan ini bukan sekadar soal pemutihan keahlian Umno, sebaliknya ahli kita di akar umbi jelas dengan hala tuju parti, dan tahu peranan mereka dalam membantu memperkasa semula parti kerana kekuatan Umno datangnya dari akar umbi.
"Manakala pasukan kedua pula berperanan dalam menjadikan dan memperkasa Umno sebagai pembangkang, bukan sekadar di peringkat Parlimen malah pembangkang di peringkat Dewan Undangan Negeri," katanya.
Tambah Md Jais lagi, Umno mempunyai peranan memperhalusi dasar-dasar dan polisi kerajaan bagi memastikan rakyat terus mendapat kebaikan.
"Umno perlu suarakan rintihan rakyat di peringkat akar umbi, inilah indikasi Umno untuk menjadi pembangkang yang cekap untuk semak dan imbang demi kepentingan dan kebaikan rakyat," katanya.
Pada 18 Dis lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan menyerahkan tugas-tugas presiden kepada Mohamad.
Ahmad Zahid membuat pengumuman itu selepas sekumpulan wakil rakyat Umno meninggalkan parti, selain desakan dari kalangan pemimpin Umno sendiri.