GLOBAL Seorang lelaki Jerman berusia 50 tahun jelas berniat mahu membunuh orang asing apabila dia memandu keretanya merempuh orang ramai di bandar Bottrop di barat laut Jerman pada awal hari Tahun Baru, mengakibatkan empat orang cedera, kata seorang pegawai kanan kerajaan.
Polis berkata lelaki itu, yang tidak dinamakan, membuat komen rasis ketika ditangkap berhampiran bandar Essen selepas melarikan diri dari tempat kejadian.
"Seorang lelaki Jerman dengan sengaja merempuh orang ramai.. yang kebanyaknya orang asing. Terdapat niat jelas oleh lelaki ini untuk membunuh warga asing," kata Herbert Reul, Menteri Dalam Negeri Rhine-Westphalia Utara, di mana Bottrop terletak, kepada pemberita pada hari Selasa.
Terdahulu, polis dan pendakwa berkata mereka mengesyaki serangan itu yang berlaku di sebuah plaza yang sesak, adalah sengaja dan "dikaitkan dengan pandangan xenophobic pemandu itu."
Mereka berkata terdapat juga maklumat awal bahawa lelaki itu sakit mental tetapi dia tidak mempunyai sebarang rekod polis.
Seorang jurucakap polis berkata rakyat Syria dan Afghanistan adalah antara mereka yang cedera, tetapi tidak memberi butiran lanjut. Dia berkata salah seorang dari empat orang yang cedera masih dirawat di hospital.
Terdahulu, pemandu itu membeluk keretanya ke arah seorang pejalan kaki, yang selamat, kata Reul. Dia juga menyasarkan orang ramai di sebuah perhentian bas selepas melarikan diri di Bottrop, tetapi mereka tidak cedera, kata polis.
Horst Seehofer, Menteri Dalam Negeri Persekutuan Jerman, memberitahu akhbar Bild kes Bottrop akan disiasat dengan teliti, bersama dengan insiden yang berlaku di Bavaria pada hari Sabtu di mana empat pencari suaka ditangkap kerana disyaki menyerang orang ramai.
- Reuters